WHAT'S NEXT

#CNO912

09.00pm - 12.00am

ZII JIA MARA KE SUKU AKHIR TERBUKA TAIWAN

Zii Jia yang bukan pemain pilihan menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia, 21-17 dan 21-8 dalam perlawanan pusingan kedua


Back To Sports Updates

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan aksi cemerlangnya dan melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan, di sini semalam.

Zii Jia yang bukan pemain pilihan menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia, 21-17 dan 21-8 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung di Arena Taipei, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia, www.bwfworldtour.befbadminton.com.

Bagaimanapun bekas pemain negara, pilihan kelapan kejohanan, Chong Wei Feng berhempas pulas untuk menundukkan Lin Yu Hsien dari Taiwan, 10-21, 26-24 dan 23-21 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Sementara itu, beregu pilihan keenam kejohanan Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal beregu lelaki negara yang masih tinggal untuk meneruskan perjuangan setelah tiga lagi beregu Malaysia kecundang dalam pusingan kedua.

Chia-Soh mengalahkan Chang Ko Chi-Lu Chia Pin dari Taiwan, 21-14 dan 21-16.

Beregu pilihan keempat, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tersingkir daripada kejohanan yang menawarkan hadiah US$500,000 (RM2.07 juta) selepas kalah mengejut 19-21 dan 20-22 kepada pasangan tidak terkenal dari Taiwan, Lee Sheng Mu-Yang Po Hsuan.

Beregu pilihan kelapan, Mohamad Arif Abdul Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub juga menerima nasib yang sama selepas tewas 16-21, 21-16 dan 19-21 kepada Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi dari Jepun sementara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani memberikan tentangan hebat kepada beregu pilihan utama Chen Hung Ling-Wang Chi Lin dari Taiwan sebelum tewas 21-18, 18-21 dan 12-21.

Dalam perseorangan wanita, pemain pilihan ketujuh Soniaa Cheah Su Ya yang merupakan wakil tunggal Malaysia di dalam kejohanan ini melangkah ke suku akhir dengan menundukkan Julie Dawall Jakobsen dari Denmark, 21-10 dan 21-10 dalam perlawanan pusingan kedua.

Pasangan beregu campuran negara, yang juga pilihan ketiga kejohanan, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei juga melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Chung Yonny-Wu Yi Ting dari Hong Kong, 22-20 dan 21-17.

Cabaran beregu wanita Malaysia di dalam Terbuka Taiwan berakhir pada Rabu, selepas wakil tunggal negara, Lim Chiew Sien-Tan Sueh Jeou kalah di dalam perlawanan pertama dalam kejohanan BWF World Tour Super 300.

Sumber: BERNAMA