WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

FAM TAMATKAN KHIDMAT LIM TEONG KIM

Pemecatan Teong Kim diputuskan atas arahan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik menamatkan serta merta khidmat Ketua jurulatih skuad Bawah 16 (B-16) negara, Lim Teong Kim susulan kegagalan Malaysia layak ke suku akhir Kejuaraan B-16 AFC 2018 yang sedang berlangsung di sini.

Kekalahan 0-2 kepada Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini, meranapkan impian Malaysia beraksi pada Piala Dunia B-17 2019 di Peru.

Setiausaha Agung FAM, Michael Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan memaklumkan pemecatan tersebut diputuskan atas arahan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan," katanya.

Ramalingam berkata Hamidin sudah mengarahkan Timbalannya, Datuk Seri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bagi mengadakan mesyuarat secepat mungkin bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baharu skuad muda negara itu.

Beliau berkata cadangan senarai calon baharu itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk pertimbangan selanjutnya.

Dalam perkembangan sama, Ramalingam berkata badan induk itu tidak mengikat sebarang kontrak dengan Teong Kim, namun bekas pemain kebangsaan itu mempunyai perjanjian dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya, tetapi Teong Kim masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya. Terpulang kepada KBS menentukan masa depan Teong Kim," jelas Ramalingam.

Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada penyokong Malaysia yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada skuad B-16 negara sejak perlawanan pembukaan pada 20 Sept lepas.

Skuad B-16 yang dibarisi kebanyakannya kelompok pertama dibentuk menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sejak empat tahun lalu, memulakan kempen kejohanan dengan langkah kanan setelah membenam Tajikistan 6-2 pada 20 Sept, namun kalah 2-4 kepada Thailand pada aksi kedua, selang tiga hari kemudian.

Kekalahan 0-2 kepada Jepun itu, meleburkan harapan skuad negara untuk mengulangi pencapaian anak didik S. Balachandran yang hanya selangkah ke Piala Dunia B-17 2015 di Chile, apabila tewas tipis 1-2 kepada Australia pada suku akhir di Thailand pada 2014.

Sumber: BERNAMA