WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

DOA DARI RAKAN SELURUH DUNIA BUAT CHONG WEI

Taufik Hidayat antara yang memberikan kata-kata sokongan kepada Lee Chong Wei dan mengharapkan dia segera sembuh


Back To Sports Updates

Jaguh-jaguh badminton dari seluruh dunia menggunakan media sosial untuk mengutus mesej bagi memberi semangat kepada Datuk Lee Chong Wei dan mengharapkan pemain perseorangan badminton negara itu tabah mengharungi dugaan setelah disahkan menghidap kanser hidung tahap awal.

Menerusi laporan Utusan Malaysia, antara yang memberikan mesej menerusi laman sosial itu termasuk ‘musuh ketat’ iaitu pemain Nombor 1 dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dan rakan senegaranya Peter Gade serta bekas juara Sukan Olimpik dari Indonesia, Taufik Hidayat yang juga rakan baiknya.

Bekas juara Seluruh England dan Sukan Komanwel, Hafiz Hashim turut tidak ketinggalan memberikan kata semangat.

Axelsen menulis di Instagram dengan berharap naib juara Olimpik tiga kali itu segera sembuh dan kembali ke gelanggang.

“Semoga cepat sembuh Chong Wei. Saya harap proses rawatan anda berjalan dengan baik,” tulis Axelsen yang kali terakhir bersemuka bekas pemain Nombor 1 dunia itu pada Jun lalu dalam Terbuka Malaysia di mana dia tewas.

Legenda badminton Indonesia, Taufik pula menyatakan mesej sokongannya kepada teman baiknya itu menerusi Instagram yang dimuat naik bersama foto lama mereka ketika bersama-sama menghadiri sebuah majlis.

“Untuk LCW, semoga anda merasa sedikit lebih baik setiap harinya. Mengirimkan perasaan baik, sihat pada jalanmu,” kata juara Olimpik Athens 2004 itu.

Gade dalam akaun Facebook pula secara ringkas berkata: “Semoga cepat sembuh, kawan, Lee Chong Wei (nama rakannya itu ditaip dalam bahasa Cina).”

Hafiz pula memuat naik gambarnya bersama Chong Wei yang disertakan dengan mesejnya kepada pemenang tiga pi­ngat perak Sukan Olimpik itu.

“Beberapa tahun lalu, kami rakan sebilik, rakan baik dan rakan sepelatih malah ‘musuh’ saya di gelanggang.

“Doa saya, anda mendapat rawatan terbaik dan segera sembuh. Anda tidak perlu kembali beraksi sekarang (kerana) paling penting ialah kesihatan anda. Semoga cepat sembuh Chong Wei.

“Semua rakyat Malaysia bersama anda wira negara,” kata Hafiz yang menjuarai Sukan Komanwel Manchester 2002 dan Seluruh England 2003.

Seorang lagi pemain perseorangan negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin pula melahirkan rasa terkejut dengan berita sedih itu namun berharap seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada rakan seperjuangannya.

“Kita berdoa agar dia dapat kembali ke gelanggang,” kata­nya menerusi Instagram.

Chong Wei, 36, sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Taiwan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengesahkan semalam bahawa pemain itu menghidap kanser hidung dan sedang menjalani rawatan di Taiwan. BAM dalam kenyataan itu turut memaklumkan Chong Wei dijangka pulang dua minggu lagi.

Sumber: Sinar Harian