WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

06.00am - 10.00am

LATIFF PERTAHANKAN EMAS, GAGAL PERBAHARUI REKOD SUKMA

LATIFF: Saya sedikit kecewa kerana tidak dapat memperbaharui rekod kejohanan memandangkan ini Sukma terakhir saya


Back To Sports Updates

Atlet lompat jauh kebangsaan, Abdul Latiff Romly menepati ramalan mempertahankan pingat emas acara lompat jauh lelaki dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.

Latiff yang mengalami kecederaan di buku lali kaki kanannya seminggu sebelum bermulanya acara itu bagaimanapun gagal memperbaharui rekod Sukma yang masih lagi dipegang atlet Perak, Mohd Hazuan Zainal Abidin yang di lakar pada 2002 di Sabah dengan lompatan sejauh 7.55 meter (m).

Pada acara berkenaan, pemuda berasal dari Kampung Paya Kelubi, Arau itu melakukan lompatan terbaik 7.46m sekali gus menyumbang pingat emas keenam buat kontinjen Perlis.

Pingat perak diraih atlet Sabah, Andre Anura @ Anuar dengan lompatan 7.39m, ketinggalan 0.07m kepada Latiff manakala gangsa menjadi milik wakil Kedah, Muhamad Nazri Mustafa dengan lompatan 7.28m.

"Saya sedikit kecewa kerana tidak dapat memperbaharui rekod kejohanan memandangkan ini Sukma terakhir saya. Namun, saya mencapai sasaran kontinjen Perlis untuk menyumbang pingat emas.

"Saya kurang selesa ketika hendak melakukan lompatan kerana terganggu dengan kecederaan yang saya alami di buku lali, mungkin itu punca saya gagal untuk mencipta lompatan yang lebih tinggi. Pada lompatan terakhir, semasa mendarat, kaki saya sudah kembali rasa sakit dan 'cramp'," katanya kepada Bernama.

Selepas ini, Latiff, 21, akan terbang ke Indonesia bagi menyertai Sukan Para Asia 2018 di Jakarta dan menyasarkan untuk memecahkan rekod acara lompat tinggi T20 (masalah pembelajaran) yang kini dipegang atlet Jepun, Tetsunori Matsumoto dengan lompatan sejauh 6.13m.

"Saya akan fokus kepada Sukan Para Asia pula selepas ini dan berazam untuk memadamkan rekod terdahulu namun semuanya bergantung pada hari kejadian dan saya berharap saya tidak mengalami sebarang kecederaan ketika itu," katanya.

Untuk rekod, catatan terbaik peribadi Latiff adalah 7.85m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Sumber: BERNAMA