WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

SUKMA: RM10,000 MENANTI ATLET MELAKA PECAH REKOD KEBANGSAAN

Sukma 2018 berlangsung dari 12 hingga 22 Sept dengan mempertandingkan sebanyak 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah


Back To Sports Updates

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan memberi insentif wang tunai RM10,000 kepada atlet negeri ini yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada temasya Sukan Malaysia di (Sukma) Perak bulan ini.

Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee juga 'Chef de Mission' negeri itu berkata atlet negeri Melaya yang berjaya memecahkan rekod Sukma pula akan menerima insentif wang tunai RM5,000.

"Kerajaan negeri juga akan memberikan insentif kepada pemenang pingat pada Sukma kali ini dengan pemenang pingat emas akan menerima wang tunai RM5,000 bagi atlet individu, RM2,500 bagi atlet beregu, RM2,000 bagi atlet bertiga dan berempat serta RM1,000 bagi atlet berpasukan.

"Atlet yang meraih pingat perak menerima wang tunai RM3,000 bagi atlet individu, RM1,500 bagi atlet beregu, RM1,500 bagi atlet bertiga dan berempat serta RM750 bagi atlet berpasukan. Gangsa pula wang tunai RM1,500 kepada atlet individu, RM800 bagi atlet beregu, RM800 bagi atlet bertiga dan berempat serta RM500 bagi atlet berpasukan," katanya kepada Bernama.

Sejumlah 550 anggota kontinjen Melaka terdiri daripada pegawai, jurulatih dan atlet akan menyertai 29 acara sukan pada temasya kali ini dan Melaka menyasarkan sasaran lebih 18 pingat emas dalam Sukma ke-19 kali ini dengan wusyu dilihat menjadi medan terbaik untuk kontinjen itu menuai emas.

Kerk berkata insentif tersebut diberikan sebagai penghargaan dan galakan kepada para atlet negeri ini untuk berusaha mencatat pencapaian terbaik sekali gus meningkatkan semangat para atlet untuk menunjukkan prestasi cemerlang masing-masing pada temasya sukan itu.

Sementara itu, katanya pelbagai inisatif telah diperkenal kepada para atlet dalam usaha memastikan mereka tidak meninggalkan Melaka atau berhijrah ke negeri lain termasuk memberi bantuan kewangan dan menaja mereka menyertai program latihan secara berterusan demi meningkatkan prestasi mereka di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata bukan sahaja atlet diberikan keistimewaan, bahkan jurulatih juga akan mendapat inisiatif tertentu apabila anak buah mereka berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam acara sukan yang disertai.

"Setiap kejayaan, para jurulatih dan atlet turut dikurniakan hadiah dan sumbangan melalui Majlis Anugerah Sukan secara tahunan atau dwitahunan bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan tertinggi oleh kerajaan negeri atas kejayaan mereka.

"Apa yang penting kita harap atlet negeri ini mempunyai kekuatan mental yang konsisten, kekuatan fizikal yang baik dan semangat kerjasama dalam pasukan yang tinggi selain memberikan lebih fokus kepada apa jua kejohanan yang mereka sertai bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.

Sumber: BERNAMA