WHAT'S NEXT

#CNO912

09.00pm - 12.00am

SYED SADDIQ TIDAK PUAS HATI DENGAN PENCAPAIAN TIM NEWENHAM

Antara matlamat utama kewujudan Program Podium adalah untuk meletakkan negara dalam kelompok 10 negara terbaik di Sukan Asia 2018


Back To Sports Updates

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan tidak gembira dengan pencapaian Tim Newenham selaku Pengarah Program Podium susulan kegagalan Malaysia mencapai sasaran kedudukan 10 teratas dalam dua temasya iaitu Sukan Komanwel 2018 Gold Coast dan Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Katanya, program itu telah berbelanja begitu besar namun tidak mampu menjelmakan setiap emas yang disasarkan kepada para atlet yang berada di bawahnya.

“Secara peribadi, saya tak gembira dengan pencapaian Pengarah Program Podium kita (Tim).

“Seperti yang saya telah tekankan, saya tidak menyalahkan atlet kerana mereka sudah buat sehabis daya. Walaupun kita berjaya capai sasaran minimum iaitu tujuh emas, kita kena ingat bahawa sasaran Podium adalah mencapai kedudukan 10 teratas,” tegasnya.

Antara matlamat utama kewujudan Program Podium adalah untuk meletakkan negara dalam kelompok 10 negara terbaik di Sukan Asia 2018.

Program elit atlet potensi emas itu dipimpin Tim yang berasal dari Australia sejak penubuhannya pada 2016, yang turut menerima peruntukan lebih RM75 juta menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) daripada bajet tahun tersebut.

Setakat ini, lebih RM65 juta telah dibelanjakan namun daripada 13 jenis sukan yang berada di bawah program itu, hanya empat emas berjaya dijelmakan.

“Untuk kita kata bahawa kita patut tepuk tangan kerana capai sasaran minimum, saya rasa kita tak berlaku adil kepada rakyat Malaysia (dan semua pihak) yang telah melaburkan berpuluh juta Ringgit dan juga kepada para atlet yang telah dedikasikan masa dan keringat untuk bangunkan sukan negara.

Bercakap ketika sidang media rumusan pasca Sukan Asia 2018 di Menara KBS di sini hari ini, beliau mengumumkan pelan tindakan untuk merencana masa depan sukan negara yang lebih baik.

Antaranya menggesa kajian semula terhadap keberkesanan program latihan yang dirancang pihak Podium, mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) mengadakan ‘post-mortem’ dengan segera untuk mengenal pasti kelemahan dan isu-isu berbangkit supaya Program Podium sedia ada dapat ditambah baik dari aspek pengurusan dan pengendalian latihan.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu pertemuan dengan semua pihak terlibat dan pemegang taruh termasuk Majlis Olimpik Malaysia (OCM) dan para persatuan sukan kebangsaan (PSK) dijangka diadakan minggu depan, yang mana beliau turut mengalu-alukan kehadiran pengkritik sukan untuk bersama mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang melanda sukan negara.

“Ada banyak benda yang perlu dilakukan tetapi ingin sekali lagi saya tegaskan, kita tidak boleh menyalahkan satu pihak sahaja. Apa sahaja kegagalan dalam sukan, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama iaitu kementerian, persatuan, MSN, ISN dan sebagainya.

“Kita kena akui kesilapan dan masalah kita, cari titik pertemuan dan selepas ini kena mara ke hadapan bersama,” tegasnya.

Daripada laporan dan pertemuan itu, beliau turut mengumumkan pelaksanaan Program Latihan ke Arah Tokyo 2020 (Road to Tokyo 2020), serta Program Penyediaan Atlet ke Arah Sukan Asia Huanzhou dan Sukan Komanwel Birminghan 2022.

Sumber: AWANI