WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

SUKAN ASIA: MALAYSIA MENGALAHKAN KYRGYZSTAN 3-1

Pasukan negara memulakan rentak cabaran dengan baik selepas menewaskan Kyrgyzstan 3-1


Back To Sports Updates

Malaysia menang perlawanan pembukaan saingan bola sepak kumpulan E, selepas menewaskan Kyrgyzstan 3-1.

Gol daripada Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad memastikan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee meraih tiga mata berharga.

Malaysia mempunyai peluang awal untuk berada di depan pada minit ke-14 apabila Akhyar berjaya melepasi pertahanan Kyrgyzstan, namun penjaga gol, Kalysbek Akimaliev pantas keluar dari kawasan gol untuk mengeluarkan bola.

Anak buah Kim Swee akhirnya berada di depan menerusi tendangan penalti pada minit ke-37 yang disempurnakan Safawi.

Penalti diberikan selepas Akhyar dijatuhkan Tamirlan Kozubaev dalam kawasan penalti.

Penjaga gol negara, Haziq Nadzli dua kali diuji dari jarak jauh pada minit terakhir babak pertama namun berjaya menyelamatkan kedua-dua cubaan, masing-masing dari Eildiiar Sardarbekov dan Odilzhon Abdurakhmanov.

Kyrgyzstan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-55 apabila hantaran silang Mustafa Iusupov ditanduk masuk Ernist Batyrkanov.

Bagaimanapun Akhyar meletakkan Malaysia kembali di depan menerusi satu half-volley yang kencang, hasil hantaran silang Safawi, pada minit ke-61.

Pada minit ke-69, Akhyar membuat hantaran silang dari kanan padang namun voli daripada ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar dalam kawasan gol Kyrgyzstan jauh tersasar.

Syafiq kemudian menanduk masuk gol ketiga Malaysia, sekali lagi Safawi mencipta peluang untuk Malaysia dengan hantaran silang pada minit ke-78.

Malaysia akan menentang Korea Selatan dalam perlawanan kedua kumpulan E pada 17 Ogos, jam 7:00 malam.

Sumber: AWANI