WHAT'S NEXT

ANTAP BREAKFAST

06.00am - 10.00am

KHAIRUL HAFIZ PERLU TERBUKA TERIMA JURULATIH BAHARU

Khairul Hafiz dilaporkan tidak bersedia untuk berpisah dengan Mohd Poad dan akan mengikut jurulatih itu berhijrah


Back To Sports Updates

JASIN: Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan perlu bersikap lebih terbuka dan bersedia menerima jurulatih baharu bagi mengembangkan bakat serta pencapaiannya ke peringkat lebih tinggi.

Bekas pelari pecut negara, Datuk Rabuan Pit berkata pelari berusia 20 tahun itu tidak seharusnya hanya mahu bergantung dengan khidmat jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim, walaupun individu terbabit yang bertanggungjawab mencungkil bakatnya.

"Pada pandangan saya, sudah sampai masanya bagi Khairul Hafiz berubah dan berpandangan jauh... tidak terlalu bergantung pada Mohd Poad demi kebaikan kedua-duanya kerana mereka mempunyai masa hadapan yang cerah dalam sukan.

"Saya faham Khairul Hafiz sukar melepaskan Mohd Poad sebagai jurulatihnya kerana beliau individu penting atau tulang belakang yang naikkan nama raja Pecut Asia itu.

"Beliau mungkin rasa terhutang budi dengan jasa dicurahkan jurulatihnya itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Penerimaan Obor Asia Pacific Masters Games 2018 di sini, pada Ahad.

Media pada Sabtu melaporkan mengenai ketidaksediaan Khairul Hafiz untuk berpisah dengan Mohd Poad dan akan mengikut jurulatih itu berhijrah selepas khabar angin mengatakan Mohd Poad mendapat tawaran menjadi jurulatih di salah sebuah negara Asia Tenggara.

Rabuan berkata setiap jurulatih mempunyai pendekatan, kemahiran dan kekuatan tersendiri untuk melatih anak didik mereka dan ilmu yang diperolehi itu amat berharga untuk mana-mana atlet mempertingkatkan pencapaian serta kedudukan mereka.

"Saya sendiri ketika bergelar atlet mempunyai lebih enam jurulatih tempatan dan luar negara dan pelbagai ilmu dan kemahiran bermanfaat dapat saya perolehi dan sehingga kini masih saya ingat," kata pemenang pingat emas acara 100m pada Sukan Asia 1982 di New Delhi.

Beliau berkata lebih utama lagi sekiranya proses pembelajaran dan pengajaran yang dijalankan itu bagi mengaplikasikan teknik, kemahiran dan teknologi berdasarkan ilmu sains sukan yang kini merupakan antara tuntutan penting dalam memajukan industri sukan tanah air khususnya sukan olahraga.

Terdahulu Obor Asia Pacific Masters Games 2018 diserahkan wakil Majlis Daerah Tangkak Johor kepada Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Tey Kok Kiew sebelum ia dibawa dalam larian obor bermula dari Jambatan Sungai Kesang di sini ke Pusat Transformasi Luar Bandar Sungai Rambai.

Obor Asia Pacific Masters Games 2018 itu akan berada di Melaka sehingga Rabu depan sebelum ia diserahkan kepada wakil negeri Sembilan bertujuan mempromosikan kejohanan berkenaan yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 7 hingga 15 Sept ini.

Sumber: BERNAMA