WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

AALIYAH YOONG MARA KE FINAL KEJOHANAN REMAJA DUNIA

Aaliyah menempatkan diri dalam kelompok 12 teratas selepas tiga percubaan untuk mengumpul 6,020 mata


Back To Sports Updates

Atlet ski air muda Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah berjaya menempa nama di pentas dunia selepas mara ke final acara 'trick' pada Kejohanan Ski Air Remaja Dunia 2018 di Madrid, Sepanyol pada Sabtu.

Bagaimanapun, pencapaian atlet berusia 15 tahun itu bukannya sesuatu yang mudah diperoleh bagi menempatkan diri dalam kelompok 12 teratas selepas tiga percubaan untuk mengumpul 6,020 mata, sekali gus menduduki tempat kelima dalam pusingan awal.

Peserta Kanada, Neily Ross mengetuai pusingan kelayakan tersebut dengan meraih 8,290 mata, diikuti atlet Amerika Syarikat Kennedy Hansen di tempat kedua (7,490 mata), peserta Australia Tayla Simmonds di tangga ketiga (6,190 mata), manakala Alena Parkhomenka dari Belarus di kedudukan keempat dengan 6,090 mata.

Aaliyah, bagaimanapun gagal melayakkan diri ke pentas akhir dalam dua lagi acara - jump dan slalom - walaupun berjaya memperbaiki pencapaian terbaik peribadinya.

Beliau melakukan catatan sejauh 35.9m dalam acara jump, sekali gus memadamkan pencapaian terbaiknya sebelum ini 34.8m, dan mencatat rekod baharu kebangsaan dan rekod baharu Bawah 17 Tahun Asia.

Aaliyah terlepas peluang berada dalam kelompok 12 teratas untuk mara ke final selepas menduduki tempat ke-13 dalam acara jump.

Beliau turut mempamerkan aksi cemerlang dalam acara slalom dengan mencatat 3.0/55/12 mata untuk berkongsi di kedudukan ke-13 bersama-sama Sierra Nowlan dari Australia, dan mencatat rekod baharu Asia yang sebelum ini dipegang atlet Korea Selatan, Han Ah-reum dengan 1.0/55/12 mata pada 2014.

Ketua jurulatih Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong memuji pencapaian hebat Aaliyah pada kejohanan tersebut.

"Aaliyah mula menunjukkan beliau bakal menjadi atlet kelas dunia dalam acara jump di samping kategori trick yang menjadi acara kegemarannya.

"Saya pasti dapat melihat beliau melonjak ke kedudukan keempat dalam ranking dunia dalam acara jump sebelum Kejohanan Remaja Dunia 2020, yang mana dia masih layak bersaing pada kejohanan berkenaan," kata Hanifah.

Selain Aaliyah, dua lagi adiknya - Aiden, 12, dan Adam, 10, juga menampilkan prestasi membanggakan dalam acara trick lelaki.

Aiden menamatkan cabaran di kedudukan ke-25 keseluruhan selepas meraih 3,520 mata manakala Adam yang memegang rekod kebangsaan dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, menduduki tempat ke-17 dengan 4,410 mata.

"Adam tidak terlalu kecewa kerana gagal layak ke final kerana beliau masih boleh bersaing dalam tiga lagi Kejohanan Remaja Dunia, dan beliau kini antara 20 terbaik di dunia," kata Hanifah.

Sumber: BERNAMA