WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

KIM SWEE CARI KOMBINASI TERBAIK DI CHINA DEMI HADAPI SUKAN ASIA

KIM SWEE: Saya ingin lihat kombinasi dan persefahaman


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Aksi pemanas badan menentang skuad Bawah 23 (B-23) China di tempat lawan esok menjadi medan terbaik kepada Datuk Ong Kim Swee mencari kesebelasan terbaik untuk menghadapi saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan ini.

Pengendali skuad B-23 kebangsaan itu menegaskan beliau tidak terlalu memikirkan keputusan perlawanan berkenaan yang akan berlangsung di Stadium Pusat Sukan Olimpik Changzhou, tetapi mahu melihat peningkatan corak permainan 22 pemain dibawa ke China.

"Saya ingin lihat kombinasi dan persefahaman kerana kita hanya sempat berlatih selama seminggu dan ini perlawanan kita di peringkat antarabangsa sejak berdepan Korea Selatan sebelum ini," katanya pada sidang media praperlawanan berkenaan, pada Sabtu.

Audio sidang media berkenaan turut diperoleh Bernama daripada pegawai media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui undian semula acara bola sepak Sukan Asia yang dilakukan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Jumaat, tidak mengubah laluan Malaysia yang perlu menghadapi ranjau berliku pada saingan kali ini.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sebelum ini diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Malaysia ditukar ke Kumpulan C bagi menggantikan Iraq yang menarik diri daripada saingan Sukan Asia pada saat akhir.

Perubahan terbaharu itu menyaksikan Malaysia hanya perlu menghadapi tiga aksi pusingan awal menentang juara bertahan Korea Selatan, Bahrain dan Republik Kyrgyzstan dalam Kumpulan E.

"Tiada banyak perbezaan kerana kita beraksi kurang satu perlawanan tetapi cabaran kita masih lagi sukar kerana kita tahu sebelum UAE diundi dalam Kumpulan E, kita mempunyai Korea Selatan dalam kumpulan kita," kata Kim Swee.

Pengendali kelahiran Melaka itu memaklumkan beliau bercadang mengadakan satu aksi persahabatan di Kuala Lumpur, namun bergantung kepada jadual baharu acara bola sepak Sukan Asia yang akan dikeluarkan AFC dalam tempoh terdekat.

Sumber: BERNAMA