WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

CHONG WEI KETEPIKAN DUA KEJOHANAN BESAR KERANA MASALAH KESIHATAN

Chong Wei telah dinasihatkan oleh doktornya agar berehat dan menjalani rawatan selepas mengalami masalah berkaitan respiratori


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tidak akan menyertai Kejohanan Dunia BWF di Nanjing, China pada hujung bulan ini dan Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan, disebabkan masalah kesihatan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata Chong Wei telah dinasihatkan oleh doktornya agar berehat dan menjalani rawatan selepas mengalami masalah berkaitan respiratori.

"Buat masa ini beliau tidak boleh melakukan kegiatan fizikal intensif sekurang-kurangnya selama sebulan, justeru kami terpaksa menarik balik penyertaan beliau dalam Kejohanan Dunia BWF dan juga Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018," kata kenyataan itu.

Kejohanan Dunia BWF dijadualkan dari 30 Julai hingga 5 Ogos manakala Sukan Asia Jakarta-Palembang pula dari 19 hingga 28 Ogos ini.

BAM seterusnya meminta masyarakat dan juga media agar memberi ruang kepada Chong Wei dan keluarganya dalam tempoh pemulihan beliau.

"Kami mendoakan agar beliau cepat sembuh dan kembali ke Akademi Badminton Malaysia (ABM)," kata BAM.

Beberapa media sebelum ini melaporkan bekas pemain nombor satu dunia itu tidak menyertai latihan bersama-sama pemain lain di ABM minggu ini, sekali gus menimbulkan keraguan tentang penyertaan beliau dalam kejohanan dunia tersebut dan juga Sukan Asia.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Chong Wei pada kejohanan dunia ialah pingat perak yang diraihnya sebanyak tiga kali iaitu pada 2011, 2013 dan 2015 manakala pada edisi 2005 beliau memenangi pingat gangsa.

Bagi Sukan Asia pula, pencapaian terbaik pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga itu ialah pingat perak dalam acara perseorangan lelaki pada edisi 2010 manakala pada temasya 2006 dan 2014 beliau meraih pingat gangsa.

Sumber: BERNAMA