WHAT'S NEXT

ANTAP BREAKFAST

06.00am - 10.00am

MASA SUDAH TIBA UNTUK SKUAD GENERASI EMAS BELGIUM MENYINAR DI PIALA DUNIA

Adakah skuad ‘generasi emas’ Belgium mampu mengatasi jiran mereka yang juga merupakan juara 1998, Perancis?


Back To Sports Updates

PERANCIS LAWAN BELGIUM

Perancis dan Belgium, dua pasukan pilihan juara sebelum kejohanan bermula ditemukan di separuh akhir.

Bagi penyokong kedua-dua pasukan, perlawanan separuh akhir pada awal pagi esok adalah ibarat perlawanan akhir, kerana kedua-dua pasukan dibarisi pemain bertaraf bintang dan skuad yang paling berkualiti.

Perancis juga merupakan skuad termahal dengan jumlah keseluruhan pemain bernilai sekitar £1.24 bilion, sementara Belgium di tempat ketujuh dengan £735 juta.

Namun nilai pemain ataupun ranking dunia tidak menjadi ukuran kerana kedua-dua skuad yang sudahpun mempamerkan permainan yang menghiburkan, terutama sekali di peringkat kalah mati.

Buat masa ini, Perancis menduduki ranking ketujuh FIFA manakala Belgium di tangga ketiga, namun rating pemain di Piala Dunia FIFA Rusia 2018 skuad Les Blues Perancis bimbingan Didier Deschamps adalah lebih tinggi.

Penjaga gawang Perancis dan Belgium, Thibaut Courtois dan Hugo Lloris masing-masing cemerlang di suku akhir dengan rating 8/10 untuk sepanjang kejohanan tahun ini.

Jurulatih Belgium, Roberto Martinez menggunakan formasi 3-4-3 sepanjang kejohanan, namun semasa menentang Brazil, Martinez mengelirukan lawan dengan mengubah kepada formasi 4-3-3 atau 4-3-1-2 dengan Thomas Meunier di pertahanan kanan dan Jan Vertonghen di bahagian kiri.

Romelu Lukaku dimainkan sebagai ‘false nine’ dengan tidak mengharapkan penguasaan bola sebaliknya memfokuskan kepada serangan balas.

Taktik tersebut ternyata membuahkan hasil apabila satu daripada dua gol yang dijaringkan semasa menewaskan Brazil adalah hasil serangan balas, walaupun pemain diberikan peranan yang berbeza di atas padang.

Di bahagian serangan, Belgium lebih efektif dengan 14 gol sementara Perancis 9 gol, dimana Lukaku sudahpun menjaringkan 4 gol berbanding penyerang Perancis, Olivier Giroud yang masih belum menjumpai jaring setakat ini.

Belgium mempunyai lebih banyak cubaan tepat ke arah gawang dengan 33 cubaan berbanding hanya 18 buat Perancis, justeru peluang the Red Devils Belgium untuk mendapatkan gol adalah lebih tinggi berbanding Perancis.

Sembilan pemain berbeza menjaringkan 14 gol Belgium pada kejohanan di Rusia setakat ini, dimana Lukaku terbanyak dengan 4 gol manakala Perancis mengharapkan bintang muda, Kylian Mbappe dan juga Antoine Griezmann untuk menyumbangkan gol.

Hanya empat pemain terlibat dalam menjaringkan gol untuk Perancis setakat ini dengan Mbappe dan Griezmann masing-masing tiga gol diikuti Benjamin Pavard (1 gol) dan Raphael Varane (1 gol).

Sejarah juga memihak kepada the Red Devils.

Sepanjang 73 pertemuan antara kedua-dua negara ini, Belgium menang 30 kali sementara berjaya mengikat Perancis sebanyak 19 kali.

Lima pertemuan terakhir menyaksikan Belgium menang 2 kali dan seri tanpa jaringan sebanyak dua kali.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu adalah pada 7 Jun 2015, dimana Belgium menang 4-3 dalam satu perlawanan persahabatan.

Jadi pasukan mana bakal menang dalam separuh akhir pertama antara Perancis dan Belgium pada jam 2 pagi esok?

Adakah skuad ‘generasi emas’ Belgium mampu mengatasi jiran mereka yang juga merupakan juara 1998, Perancis?

Sumber: AWANI