WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

ENGLAND MARA KE SEPARUH AKHIR PERTAMA SEJAK 1990

Harry Maguire (kanan) meraikan gol pertama England bersama John Stones


Back To Sports Updates

SAMARA: England melangkah ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990 apabila Harry Maguire dan Dele Alli masing-masing meledak gol untuk mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sweden.

Dua gol pada setiap satu babak pertembungan di Samara itu semakin mendekatkan misi skuad pimpinan Gareth Southgate itu membawa pulang Piala Dunia ke tanah Inggeris.

Maguire sekali lagi beraksi cemerlang dan kali ini berjaya meletakkan namanya dalam kalangan penjaring apabila pertahanan Leicester City menanduk masuk bola sepakan sudut Ashley Young, melepasi gapaian penjaga gol Sweden, Robin Olsen setengah jam selepas perlawanan bermula.

Penjaga gol The Three Lions, Jordan Pickford turut memainkan peranan penting mempertahan maruah juara 1966 dengan menafikan beberapa percubaan bahaya antaranya dua daripada Marcus Berg dan Viktor Claesson.

England kemudian terus menggandakan asakan, permainan terbuka sukar menembusi benteng Sweden namun efektif daripada ‘set-piece’ atau bola mati.

Hantaran Jesse Lingard yang ditanduk mudah Dele Alli ke gawang lawan pada minit ke-58 mengesahkan kemenangan England yang bakal menempuh cabaran daripada Croatia, yang menundukkan ego tuan rumah Rusia menerusi penentuan penalti.

Detik bersejarah bola sepak Inggeris disambut dengan pelbagai emosi, tatkala kali terakhir mereka sampai ke tahap ini adalah pada edisi 1990 di Itali yang berakhir hampa selepas tewas dengan penentuan penalti kepada Jerman.

England hanya selangkah daripada melakar satu lagi sejarah untuk menempah slot ke final Piala Dunia, kali terakhir pada 1966 yang menyaksikan mereka menjulang Piala Jules Rimet di tanah sendiri.

Sumber: AWANI