WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

RUSIA TERSINGKIR DARI PIALA DUNIA, TEWAS SEPAKAN PENALTI

Rusia tumpas 3-4 menerusi penalti selepas mempamerkan semangat juang yang tinggi menentang Croatia


Back To Sports Updates

SOCHI: Tuan rumah, Rusia mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan suku akhir menentang Croatia namun terpaksa akur dengan kekalahan 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Mario Fernandes yang menjaringkan gol penyamaan buat Rusia lima minit sebelum tamat masa tambahan gagal menyempurnakan penalti yang menjadi punca kekalahan pasukan tuan rumah.

Croatia mula menguasai permainan yang berlangsung di Sochi sepuluh minit selepas sepak mula dan mempunyai beberapa peluang untuk berada di depan.

Pada minit ke-28, Sime Vrsaljko membuat hantaran lintang yang menyaksikan peluang disia-siakan Ivan Perisic, apabila tandukannya tersasar.

Disebalik penguasaan Croatia, Rusia terlebih dahulu di depan pada minit ke-31 menerusi rembatan jarak jauh Denis Cheryshev, hasil kombinasi hantaran dengan Artem Dzyuba.

Croatia berjaya menyamakan kedudukan lapan minit kemudian, apabila Andrej Kramaric menanduk masuk hantaran Mario Mandzukic.

Rusia meneruskan taktikal bertahan dan serangan balas dalam babak kedua, menyaksikan Croatia mempunyai penguasaan bola yang tinggi namun buntu mencari ruang untuk membolosi pertahanan lawan.

Peluang terbaik Croatia untuk berada di depan hanya hadir pada minit ke-60 yang menyaksikan tendangan Ivan Perisic terkena tiang.

Rusia yang jarang melancarkan serangan di kawasan Croatia terlepas peluang untuk berada di depan apabila Aleksandr Yerokhin gagal menanduk bola hantaran Mario Fernandes ke arah gawang Croatia.

Kecederaan penjaga gol Croatia, Danijel Subasic pada minit terakhir permainan mencetuskan situasi cemas namun kembali pulih selepas menerima rawatan.

Sejurus pulih, Subasic yang muncul wira Croatia dalam sepakan penalti menentang Denmark pada pusingan 16 pasukan terakhir, menyelamatkan rembatan Fedor Smolov dalam masa kecederaan.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat masa permainan sebenar, menyaksikan permainan memasuki masa tambahan.

Domagoj Vida meletakkan Croatia kembali di depan pada minit ke-101, selepas menanduk masuk hantaran sepakan sudut Luka Modric.

Rusia menggandakan asakan dalam usaha mencari gol penyamaan menyaksikan rembatan Daler Kuzyaev diselamatkan Subasic pada minit ke-113.

Gol penyamaan hadir dua minit kemudian menerusi sepakan percuma yang diperoleh, selepas Josip Pivaric menahan bola menggunakan sikunya berhampiran kawasan gol Croatia.

Sepakan yang diambil Alan Dzagoev itu ditanduk masuk Fernandes untuk kedudukan dua sama dan kedudukan kekal sehingga tamat masa tambahan, memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Subasic yang menyelamatkan tiga penalti semasa menentang Denmark pada pusingan kedua, terus cemerlang apabila menyelamatkan tendangan pertama Rusia yang diambil Smolov.

Akinfeev yang juga hebat menyelamatkan penalti semasa menentang Sepanyol, berjaya menghalang penalti kedua Croatia yang diambil Mateo Kovacic untuk mengikat kedudukan satu sama.

Namun malang buat Fernandes apabila penalti yang diambilnya tersasar sebelum tendangan Modric dapat dibaca Akinfeev namun tampananya tidak cukup kuat untuk menghalang bola menerjah jaring.

Ivan Rakitic akhirnya mengesahkan kemenangan Croatia apabila tenang menyudahkan tendangan terakhir untuk pasukannya mara ke separuh akhir dnegan kemenangan 4-3.

Sumber: AWANI