WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

2018 DETIK TERBAIK BUAT BELGIUM

Belgium menyertai saingan di Russia berbekalkan pasukan yang paling berbakat dalam kejohanan


Back To Sports Updates

Eden Hazard berpendapat prestasi yang hebat diperingkat kelab oleh pemain-pemain utama Belgium seperti dirinya, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku membuatkan skuad kendalian Roberto Martinez perlu menepati jangkaan dan harapan di Piala Dunia 2018.

Belgium menyertai saingan di Russia berbekalkan pasukan yang paling berbakat dalam kejohanan, selepas dibarisi oleh kebanyakan pemain yang beraksi di liga utama Eropah.

Tatkala Hazard melalui kempen yang cemerlang bersama Chelsea dalam beberapa musim terakhir, De Bruyne turut muncul selaku antara pemain terbaik di Liga Perdana Inggeris pada musim ini bersama Manchester City.

Empat tahun lalu, Belgium hadir ke saingan Piala Dunia 2014 dengan harapan yang sama tetapi hanya memberikan kesan minimum dan Hazard percaya mereka perlu membuktikan kemampuan sebenar dalam kejohanan kali ini.

"Saya rasa semua pemain berada dalam keadaan terbaik. De Bruyne bersama City, Lukaku bersama Manchester United sementara saya dan Thibaut Courtois di Stamford Bridge," kata Hazard.

"Kami bersama pasukan hebat dan mengharungi musim yang baik. Jadi, jika kami mahu melakukan sesuatu yang menggemparkan, ini adalah masanya.

"Masanya bukan dalam tempoh setahun, dua tahun atau empat tahun. Saya rasa kini adalah detik terbaik untuk bersatu dan mencipta kejayaan.

"Tiada istilah bergantung kepada seorang pemain. Kami mempunyai 23 orang pemain yang mampu bermain," tambahnya.

"Jelas sekali saya berada pada tahap terbaik. Saya mampu menjaringkan gol dan memainkan watak utama dalam pasukan.

"Satu perkara biasa apabila terdapat seorang pemain yang lebih menarik perhatian berbanding yang lain tetapi setiap individu mampu memberikan kesan dalam perlawanan. Saya boleh beraksi hambar dan akan ada watak lain yang melakukan tindakan tepat buat pasukan."

Sumber: AWANI