WHAT'S NEXT

RENTAK RUAI

02.00pm - 05.00pm

MALAYSIA TERUS KEMARAU PINGAT PADA PIALA DUNIA FINA

Nur Dhabitah yang berada di tempat ke-11 mencatat 301.30 mata


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Suasana suram terus menyelubungi skuad negara pada aksi di Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA ke-21 di Wuhan, China, hari ini.

Dalam saingan di Pusat Sukan Natatorium Wuhan itu, penerjun negara terus gagal meraih sebarang pingat dalam acara 3m berirama campuran dan 3m papan anjal wanita.

Gandingan Muhammad Syafiq Puteh-Nur Dhabitah Sabri sekadar menamatkan cabaran di kedudukan keenam dalam acara 3m berirama campuran, petang tadi.

Mereka yang merekodkan pungutan 295.80 mata bermula agak baik di tempat kedua sehinggalah pada terjunan ketiga.

Pasangan penerjun negara gagal meneruskan rentak cemerlang bermula pada terjunan keempat, sekali gus jatuh ke tangga ketujuh sebelum bangkit memperbaiki kedudukan di tempat keenam selepas lima terjunan keseluruhan.

Pingat emas acara itu dimenangi penerjun China, Wang Han-Li Zheng yang mengumpul 337.95 mata, diikuti gandingan Maicol Verzotto-Elena Bertocchi dari Itali (303.90) dan pasangan England, Ross Haslam-Grace Reid (302.64).

Sementara, Nur Dhabitah yang turut bersaing dalam acara 3m papan anjal wanita berada di kedudukan kedua tercorot diikuti seorang lagi penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee.

Nur Dhabitah yang berada di tempat ke-11 mencatat 301.30 mata manakala Wendy pula merekodkan 281.20 mata untuk menduduki tangga ke-12. 

Penerjun China mendominasi acara itu apabila pingat emas dan perak, masing-masing menjadi milik Shi Tiangmo (404.70) dan Wang Han (383.55), manakala pingat gangsa diraih penerjun Kanada, Pamela Ware (348.75).

Dalam pada itu, penerjun muda negara, Jellson Jabilin beraksi cemerlang apabila mara ke separuh akhir acara 10m platform lelaki selepas berada dalam kelompok 18 penerjun terbaik pada pusingan awal. 

Jellson yang menamatkan saingan di kedudukan ke-18 daripada 24 penerjun, mengumpul 375.70 mata untuk beraksi di pusingan seterusnya, esok.

Sumber: BERNAMA