WHAT'S NEXT

CATS TOP 30 RAYA

10.00am - 01.00pm

DEMI PALESTIN, ARGENTINA BATAL PERLAWANAN PERSAHABATAN DENGAN ISRAEL

Pacbi mengucapkan terima kasih kepada penyerang Lionel Messi atas keputusan itu


Back To Sports Updates

PALESTIN: Palestin menyambut baik keputusan terbaharu pasukan bola sepak Argentina yang membatalkan perlawanan persahabatannya dengan Israel.

Ketua Persatuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub berkata keputusan tersebut adalah satu langkah bijak yang dibuat pasukan dari negara latin itu.

"Saya fikir ini adalah mengikut undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mengikut prinsip dan misi mereka untuk mempromosikan etika dan nilai, dan untuk membina jambatan antara negara dan bukan menjadi alat untuk tujuan politik.

"Orang Israel cuba menggunakan Messi dan bintang-bintang dari Argentina," jelasnya.

Perlawanan Sabtu itu akan dijadual berlangsung di Stadium Teddy Kollek di Baitulmaqdis yang bersebelahan dengan lokasi sebuah kampung rakyat Palestin, Al-Malha.

Bintang dan penyerang Argentina yang turut mewakili kelab bola sepak Itali, Juventus, Gonzalo Higuain, menyokong sepenuhnya keputusan terbaharu itu.

Kenyataan Higuain itu disusuli kenyataan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina, Hugo Moyano yang menyifatkan perlawanan persahabatan dengan Israel adalah sangat tidak berbaloi.

"Saya fikir ia adalah satu perkara yang baik apabila perlawanan antara Argentina dan Israel digantung.

"Banyak perkara yang berlaku di tempat itu, mereka membunuh ramai orang, sebagai manusia, anda tidak boleh menerima semua itu," jelasnya.

Kempen Palestin untuk Boikot Akademik dan Kebudayaan Israel (PACBI) juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan dan penyerang Lionel Messi khususnya atas keputusan itu, dan meminta agar Israel dipulaukan dari arena bola sepak dunia kerana kekejamannya terhadap Palestin.

"Kami menerima baik keputusan pembatalan perlawanan persahabatan Argentina dan Israel.

"Pasukan Argentina telah bertindak balas terhadap kempen kreatif dari peminat dari seluruh dunia yang mengutuk tindakan Israel kerana jenayah yang dilakukan mereka terhadap rakyat Palestin," tulisan PACBI di laman twitter.

Susulan pembatalan tersebut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan memanggil Presiden Argentina, Mauricio Macri bagi merundingkan semula perlawanan tersebut.

Israel berkata ia akan memfailkan aduan kepada FIFA, agar mengenakan tindakan ke atas Palestin susulan pembatalan tersebut.

Bintang Argentina Lionel Messi dianggap sebagai salah satu pemain bola sepak terbaik di dunia, bersama bintang Portugal Cristiano Ronaldo, dan mempunyai penyokong yang ramai di Palestin dan negara Asia Barat lain.

Sumber: AWANI