WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

KESILAPAN DE GEA BUAT SEPANYOL KEMPUNAN

Kesilapan penjaga gol, David De Gea, membolehkan Switzerland mengikat juara Piala Dunia 2010, Sepanyol


Back To Sports Updates

SEPANYOL 1 SWITZERLAND 1

Kesilapan penjaga gol, David De Gea, membolehkan Switzerland mengikat juara Piala Dunia 2010, Sepanyol, dalam aksi persahabatan di Estadio de la Cerámica, awal pagi tadi.

Sepanyol memulakan aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia 2018 dengan melayan kunjungan Switzerland untuk pertemuan persahabatan di laman sendiri.

Skuad kendalian Julen Lopetegui mempertaruhkan Iago Aspas, Diego Costa dan David Silva di barisan depan untuk cuba merobek benteng lawan yang diketuai oleh Fabian Schar.

Skuad La Roja hampir membuka tirai jaringan seawal minit pertama perlawanan setelah gerakan badan Costa memperdayakan pertahanan Switzerland sehingga membolehkan Thiago Alcantara melepaskan rembatan kaki kanan tetapi percubaannya sempat ditepis keluar oleh penjaga gol, Yann Sommer.

Enam minit kemudian, giliran skuad bimbingan Vladimir Petkovic menghadirkan ancaman ke gawang tuan rumah menerusi hantaran lintang Stephan Lichtsteiner, namun usaha daripada penyerang, Haris Seferovic, sempat dinafikan oleh De Gea.

Bagaimanapun, anak-anak buah Lopetegui terlebih dahulu memecah kebuntuan apabila meledakkan gol pertama perlawanan pada minit ke-29.

Hantaran lambung Silva dari sebelah kiri disambut baik oleh pemain bek kanan, Alvaro Odriozola, yang melepaskan rembatan voli yang tepat menuju ke bahagian kiri gawang lawan untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Memasuki babak kedua, Andres Iniesta hampir menambah jaringan Sepanyol selepas enam minit aksi bersambung tetapi percubaan kaki kiri pemain veteran itu sedikit tersasar ke kanan gol.

Sebaliknya, Switzerland yang mengikat kedudukan setelah menggunakan kesempatan hasil daripada kesilapan De Gea.

Penjaga gol Manchester United itu gagal menangkap kemas bola percubaan awal daripada Lichtsteiner, sekaligus membolehkan Ricardo Rodriguez menolak bola masuk untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Kedua-dua pasukan cuba memburu jaringan kemenangan tetapi masing-masing terhad dengan permainan lebih berhati-hati dan kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

Sumber: AWANI