WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

CHONG WEI SEDIA 'KORBAN' KEJOHANAN DUNIA

Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sedia 'mengorbankan' keinginan tinggi bagi meraih gelaran sulung Kejohanan Dunia di Nanjing, China


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sedia 'mengorbankan' keinginan tinggi bagi meraih gelaran sulung Kejohanan Dunia di Nanjing, China, Julai depan bagi memberi fokus kepada temasya Sukan Asia di Jakarta, Indonesia.

Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan, berkata jika dibandingkan antara kedua-dua kejohanan berkenaan, temasya Sukan Asia yang berlangsung empat tahun sekali itu lebih penting memandangkan ia adalah penampilan terakhir buat pemain berusia 36 tahun itu.

"Sejak dari awal tahun lagi, fokus utama Chong Wei tahun ini adalah Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Sukan Komanwel sudah berakhir dan kini tinggal Sukan Asia.

"Chong Wei tetap akan beraksi pada Kejohanan Dunia cuma tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana ia berlangsung setiap tahun dan dia ada peluang lagi tahun depan. Sukan Asia lebih penting memandangkan ia adalah sasaran utamanya," kata Hendrawan.

Hendrawan berkata, pemain ranking nombor tujuh dunia itu bakal berdepan situasi mencabar dalam persiapan menjelang Sukan Asia memandangkan ia akan berlangsung selepas 10 hari Kejohanan Dunia tamat.

Kejohanan Dunia bermula 30 Julai hingga 5 Ogos manakala Sukan Asia membuka tirai pada 18 Ogos hingga 2 September.

"Boleh dikatakan tempoh yang ada selepas Kejohanan Dunia agak singkat. Sebab itu, fokus lebih kepada Sukan Asia kerana itu adalah sasaran utamanya... memang mencabar tetapi saya percaya Chong Wei boleh atasinya," katanya.

Sebelum Kejohanan Dunia, Chong Wei turut akan beraksi dalam saingan Terbuka Malaysia dari 26 Jun hingga 1 Julai dan Terbuka Indonesia (3 hingga 8 Julai).

Walaupun sudah berusia 36 tahun, namun semangat Chong Wei untuk berjuang di peringkat tertinggi tetap membara dan ia dibuktikan berdasarkan prestasinya ketika saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand minggu lalu apabila mengekalkan rekod tanpa kalah.

Malah, dia juga berjaya mengatasi pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dalam saingan peringkat kumpulan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, apa yang penting untuk Chong Wei adalah semangatnya. Jika dia masih bersemangat untuk bermain, jadi tiada masalah untuknya. 

"Semangat juang tinggi akan mengatasi semua perkara terutama ketika usianya semakin meningkat," kata Hendrawan.

Sumber: AWANI