WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

#MALAYSIABAHARU: MASA TERBAIK UNTUK REVOLUSI SUKAN NEGARA

Masa untuk perubahan bagi sukan negara


Back To Sports Updates

Kalau ditanya apa yang saya mahu lihat, sudah pasti satu tindakan drastik diambil terhadap institusi sukan di negara ini dengan merombak semula akta sukan, badan sukan sehinggalah ke peringkat kementerian.

Bagi saya, sudah tiba masa ia dirombak kerana kebanyakan persatuan tidak mampu berdiri dengan sendiri, tidak mahir dalam pengurusan dan pemasaran sukan kerana terlampau bergantung kepada dana kerajaan.

Selain itu, wujud dakwaan kebanyakan yang memegang kuasa dalam badan sukan adalah proksi kepada ahli politik sekaligus menyebabkan keputusan yang dibuat seakan ada kepentingan sendiri.

Itu pandangan saya, mungkin sukar untuk dilakukan atau bukan yang terbaik untuk membawa Malaysia ke hadapan namun apa yag pasti, kita dapat lihat bahawa banyak badan sukan yang hanya wujud dengan menagih dana kerajaan.

Kini sudah tiba masa peruntukan untuk sukan tidak lagi bertumpu sepenuhnya kepada pembangunan sukan elit semata-mata dan mengutamakan sukan untuk pembangunan sosial dan ‘sports for all’.

Apakah yang terbaik untuk pembangunan sukan di negara ini? 

Bagi Pensyarah di Fakulti Sains dan Rekreasi Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustafa, sukan tidak patut dipinggirkan oleh kerajaan kerana ia adalah bagus untuk pembentukan sosial yang sihat.

“Sukan bukan untuk wang semata-mata kerana ia mewujudkan semangat masyarakat bersatu-padu. Ia adalah penyelamat kepada isu-isu yang dihadapi di negara ini,” kata Sadek menerusi satu temu bual telefon.

“Selain itu sukan adalah elemen amat penting kerana ia menjamin kesihatan rakyat, pembangunan sosial dan sahsiah generasi muda menerusi sukan yang bermain mengikut peraturan dan undang-undang.”

Dengan menumpukan kepada pembangunan sosial menerusi sukan, kesihatan rakyat Malaysia dapat terjamin dengan aktiviti-aktiviti sihat, justeru akses mudah untuk kemudahan dan infrastruktur sukan harus diwujudkan.

Kalau kita lihat sekarang, kemudahan sukan massa untuk masyarakat B40 di kawasan perumahan mereka tidak setanding dengan kepadatan dan nisbah penduduk di kawasan perumahan mereka.

Tambah Sadek, kemudahan sukan dan rekreasi yang ada semakin berkurangan terutama di kawasan bandar dan ada kemudahan terpaksa ditutup untuk dibangunkan kondominium dan pusat membeli-belah, seperti Bandar Tun Razak, Cheras, padang bola sepak dibangunkan kondominium.

“Sebagai negara maju, kita perlu pentingkan sukan dan rekreasi dengan mewujudkan lebih banyak kemudahan untuk rakyat bersukan dan menjalan aktiviti rekreasi. Infrastruktur sukan dan rekreasi perlu ditambah untuk semua bukan pusat beli belah yang diperlukan untuk tujuan pembentukan sosial budaya negara yang sihat,” jelas Sadek.

Bagi saya, sudah tiba atlet negara dan persatuan sukan berjuang demi maruah bangsa dan negara, bukan lagi kerana dana kerajaan dan insentif-insentif yang dijanjikan untuk sebutir pingat.

Dengan kerajaan baharu kini mentadbir negara, apa yang kita boleh harapkan untuk memastikan tiada pembaziran dalam peruntukkan yang diberikan, terutama sekali dalam pembangunan sukan elit dan pelapis?

Program Podium

Program Podium yang paling menjadi perbualan hangat sejurus Malaysia gagal menduduki ranking sepuluh negara terbaik semasa Sukan Komanwel 2018.

Ada yang menyatakan program tersebut perlu dipertanggungjawabkan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan bukan Institut Sukan Negara (ISN) seperti yang dicadangkan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bagi Khairy, ia perlu kekal sepenuhnya dibawah ISN kerana belum dilaksanakan sepenuhnya dan masih ada lagi program untuk Sukan Asia 2018 Ogos ini di Jakarta dan Palembang.

Sadek bersetuju dengan pandangan Khairy, namun impiannya agar ia dikembalikan kepada MSN.

Bagi Sadek, MSN lebih berpengalaman pengurusan atlet berprestasi tinggi dan ISN perlu teruskan fokus dalam perkhidmatan dan pembangunan sains sukan untuk sukan prestasi tinggi berasaskan kepakaran mereka melalui kajian dan penyelidikan.

“Kita perlu memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk mengetuai Program Podium kerana kita mempunyai ramai individu yang berkelayakan dalam bidang sukan di negara ini.”

“Soalnya sekarang kita masih percaya individu-individu dari negara yang pernah menjajah kita untuk menyatakan kita lakukan sesuatu yang betul atau salah.”

“Adakah kita masih diketegorikan sebagai golongan manusia yang masih rendah tahap intelek, kemahiran dan pengalaman? Di Indonesia dan Jepun mereka meletakkan orang tempatan kerana ini soal maruah negara,” kata Sadek.”

 

Peruntukan bagi Program Podium.

 

Tambah Sadek, kerajaan baharu perlu berani menukar budaya ini dengan memperkasakan orang tempatan, mengaku apa yang salah dan cuba perbaiki kelemahan yang ada dalam pengurusan sukan di negara ini.

“Jika kita ambil pakar luar, sudah pasti ‘transfer of knowledge’ tidak akan berlaku kerana mereka tidak akan mendedahkan semua kepakaran mereka. Jika tidak mereka tidak boleh mencari ‘makan’ di tempat lain. Pengurusan sukan bukan seperti di universiti di mana sesi pembelajaran diadakan dan pengetahuan diberikan.” jelas Sadek lagi.

Bagi wartawan sukan bebas, Haresh Deol pula, penilaian terhadap program podium hanya boleh dibuat selepas Sukan Asia untuk melihat sama ada ia mampu mencapai KPI yang ditetapkan.

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP)

Seterusnya kita melihat sukan nombor satu negara, bola sepak yang dibangunkan menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Haresh berasa NFDP adalah dasar sukan yang baik dan dimulakan sejak Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek lagi.

Bagaimanapun operasinya harus dikaji semula sama ada ia kos efektif dan pegawai-pegawai yang bertugas mempunyai kredibiliti untuk menguruskannya.

Sadek pula mahu satu audit forensik perlu dilakukan terhadap NFDP oleh pihak yang berkecuali.

“NFDP perlu diteruskan namun kita perlu adakan audit forensik terhadap operasi kewangan, pembangunan modal insan,kejurulatihan, kualiti dan penerapan pembudayaan dalam NFDP. Adakah perbelanjaan yang dikeluarkan setanding dengan hasilnya setakat ini?” kata Sadek.

Aspek pembudayaan Malaysia dalam NFDP amat penting dari aspek psikologi dalam pembangunan pelatih dalam program tersebut.

Jadi, adakah kita perlu kementerian yang melihat pembangunan aspek belia dan sukan?

Walaupun barisan kabinet kerajaan baharu tidak mengumumkan lagi masa depan pentadbiran sukan negara dibawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), ini adalah masa terbaik untuk melakukan revolusi bagi cara kita menguruskan pembangunan sukan di negara ini.

Bagi Haresh, beliau berpendapat KBS harus dikekalkan cuma ia perlu mengutamakan sukan untuk semua ataupun ‘sports for all’ dan bukan hanya sukan untuk atlet elit sahaja.

Apapun, Haresh juga mahu atlet perlu belajar untuk menjadi lebih profesional dan persatuan sukan harus mampu berdiri dengan sendiri tanpa mengharapkan dana kerajaan semata-mata.

Sudah tiba masa kita hentikan pelaburan berjuta-juta ringgit untuk janji-janji emas di peringkat antarabangsa kerana di peringkat pegurusan dan pembangunan kita masih lagi tidak stabil.

RM20 juta sudah gagal dalam program Road to London 2012, sekarang kita menantikan adakah pelaburan lebih RM200 juta untuk Program Podium berbaloi untuk masa depan.

Fikir-fikirkan ...

Sumber: Awani