WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

PERSIAPAN SUKAN ASIA TIDAK TERJEJAS - NORZA

Mohamad Norza berkata sebuah pasukan petugas sudah diwujudkan khusus untuk memantau persiapan ke Sukan Asia


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Persiapan kontinjen negara ke Sukan Asia di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 2 Sept ini, tidak terjejas susulan peralihan kuasa di peringkat kerajaan Persekutuan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), baru-baru ini.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata sebuah pasukan petugas sudah diwujudkan khusus untuk memantau persiapan ke Sukan Asia dan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan menteri yang akan menjaga portfolio sukan, selepas nama menteri berkenaan diumumkan.

"Setakat ini, proses Sukan Asia tidak terganggu kerana kita sudah tubuhkan pasukan petugas. Kita pun sudah ada senarai sukan apa yang akan menyertai temasya sukan itu, dan selepas ini kita perlu lebih teliti untuk menentukan jumlah dan senarai pendek nama atlet.

"Kita juga sedang menunggu peluang bertemu menteri sukan yang baharu dan berharap untuk teruskan hubungan positif supaya kita dapat menjelaskan hala tuju Sukan Asia, dan lebih penting kita mahu rakyat Malaysia tahu kita sedang berusaha keras untuk capai pingat emas pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Apa jua perancangan kerajaan, kita sedia bekerjasama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif pertama MOM di Wisma OCM di sini, pada Isnin.

Mohamad Norza yang baru memulakan tugas sebagai Presiden MOM pada 5 Mei lalu, berkata pasukan petugas itu akan diketuai Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nafizuddin Mohd Najib dan dibantu Timbalan Presiden Datuk Seri Azim Zabidi, yang juga merupakan ketua kontinjen negara ke Sukan Asia.

Pada masa ini, beliau berkata tugas pertama pasukan tersebut ialah melengkapkan senarai pendek atlet ke Sukan Asia.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan 12 atlet daripada tiga jenis sukan sudah layak ke Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina bermula 6 hingga 18 Okt depan.

Mereka adalah pasukan hoki lelaki 5-sebelah, pemain ping pong Choong Javen serta dua gimnas Rayna Hoh Khai Ling (gimrama) dan Zarif Iman Khalid (artistik).

Norza berkata mesyuarat pada hari ini, turut melantik pengerusi bagi pelbagai jawatankuasa di bawah MOM bagi penggal 2018-2021.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Datuk Dr S.S. Cheema berkata baki dua kes doping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, melibatkan sukan angkat berat dan ekuestrian, akan diselesaikan pada mesyuarat persekutuan itu di Manila, Rabu ini.

Sumber: Awani