WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

BAM TIDAK AKAN BANTU ZULFADLI BAYAR DENDA - NORZA

Mohamad Norza berkata Zulfadli telah mengemukakan surat permohonan yang meminta bantuan daripada pihak BAM dalam membayar denda


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan membantu pemain profesional Zulfadli Zulkiffli untuk membayar denda yang dikenakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ke atasnya kerana didapati bersalah mengatur perlawanan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata pihak BAM hanya bersedia menghantar wakil ke sesi pendengaran rayuan bekas juara remaja dunia itu.

Mohamad Norza berkata Zulfadli telah mengemukakan surat permohonan yang meminta bantuan daripada pihak BAM dalam membayar denda dan membantunya dalam proses rayuan.

"BAM tidak akan membayar denda (Zulfadli). Kita telah membalas surat (Zulfadli) mengatakan bahawa BWF membenarkan beliau untuk mengemukakan rayuan tanpa membayar dahulu denda itu dan ia boleh dilaksanakan selepas proses rayuan.

Kedua, kita bersetuju untuk menghantar wakil kita ke pendengaran rayuan tersebut untuk menentukan bahawa proses itu dijalankan dengan adil dan saksama. Kes itu (mengatur perlawanan) adalah di antara beliau dan peguamnya, kita hanya menjadi pemerhati," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Wisma OCM di sini, hari ini.

Mohamad Norza dipilih sebagai Presiden MOM yang baharu selepas menang tanpa bertanding apabila presiden sebelumnya Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar melepaskan jawatan itu selepas memegangnya selama 20 tahun.

Zulfadli, 25, dikenakan tindakan gantung 20 tahun daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan badminton berkuat kuasa 12 Jan lepas dan didenda AS$25,000 (RM98,000) selepas BWF mendapati pemain itu bersalah kerana mengatur perlawanan pada 2 Mei lepas.

Mengulas mengenai kesudian BAM membantu Zulfadli yang sebelum ini telah beberapa kali menolak pelawaan menyertai badan induk sukan badminton negara itu, Mohamad Norza berkata ia sudah menjadi tanggungjawab BAM untuk menyelesaikan isu berkaitan sukan badminton di negara ini.

"Kita membantu sekadar dalam bidang kuasa kita kerana kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan badminton di negara ini di bawah tanggungjawab persatuan... namun kita tidak campur tangan dalam kes itu," katanya.

Pada 2 Mei lepas, selain Zulfadli, BWF turut mengenakan hukuman gantung 15 tahun kepada seorang lagi pemain badminton profesional negara, Tan Chun Seang berkuat kuasa 12 Jan lepas selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.

Chun Seang juga turut dikenakan denda US$15,000 (RM58,905) kerana kesalahan mengatur perlawanan.

Sumber: Awani