• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

SITI ZALINA, EMMA FIRYANA PAMER AKSI MENAKJUBKAN RAIH EMAS

Siti Zalina, 38, dan Emma Firyana, 31, berjaya menewaskan pasangan Afrika Selatan Nicolene Neal dan Colleen Piketh, 15-14, selepas menamatkan 18 ends


Back To Sports Updates

GOLD COAST, 13 April (Bernama) -- Menakjubkan. Itu yang dapat digambarkan mengenai prestasi yang dipamerkan oleh gandingan Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji dalam aksi final acara boling padang berpasangan wanita di Sukan Komanwel 2018.

Siti Zalina, 38, dan Emma Firyana, 31, berjaya menewaskan pasangan Afrika Selatan Nicolene Neal dan Colleen Piketh, 15-14, selepas menamatkan 18 ends pada aksi final yang berlangsung di Broadbeach Bowls Club, di sini hari ini.

Gandingan negara yang bermula longlai pada tiga ends pertama, ketinggalan 7-0, yang kalau dinilai di atas kertas, sudah tiada harapan untuk memenangi saingan, namun pasangan negara berjaya memecah kebuntuan pada ends keempat apabila mengutip satu demi satu mata, namun masih ketinggalan 12-3 pada ends ke-10.

Siti Zalina dan Emma yang kelihatan tenang dan mula mempamerkan balingan yang lebih tepat sehingga berjaya merapatkan jurang pada ends ke-16 dengan kedudukan 12-13, satu mata di belakang lawan.

"Kalau ikutkan tadi, kami ketinggalan banyak, tapi ada lagi baki dalam lapan ends. Saya cakap dengan Emma, kita cuba dapatkan satu demi satu mata. Kalau dapat lebih, ia bonus buat kita.

"Kami pun ketika itu tidak berputus asa dan saling sokong satu sama lain. Bukan senang dalam situasi ketinggalan begitu, kalau diikutkan memang sudah tiada harapan.

"Tapi saya rasa dengan sikap tidak berputus asa kami dan juga keinginan untuk mendapatkan pingat emas yang sangat tinggi itu yang membolehkan kami bangkit semula dan akhirnya mengecap kejayaan seperti hari ini," kata Siti Zalina yang membuat penampilan kali keenam di temasya Sukan Komanwel.

Dengan kejayaan hari ini, skuad boling padang menepati sasaran satu pingat emas yang ditetapkan oleh Persatuan Boling Padang Malaysia (PBPM) pada temasya empat tahun sekali itu.

"Ini bukan kemenangan kami berdua sahaja tapi juga seluruh pasukan boling padang yang banyak memberikan sokongan kepada kami ketika final tadi walaupun ketinggalan banyak markah," katanya.

Dalam pada itu, Emma Firyana berkata tindakannya menukar corak permainan ternyata membuahkan hasil apabila balingannya banyak membuka laluan untuk Siti Zalina dan mematahkan usaha pasukan lawan untuk menghasilkan mata.

"Saya pada awalnya agak gementar juga. Saya dah buat sikit silap apabila terikut-ikut cara permainan lawan. Saya cuba tukar cara permainan saya dan Siti Zalina pun banyak bagi saya kata- kata semangat.

"Bila saya tukar dan tidak ikut permainan lawan, baru saya sedar saya dah bersaing kembali," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih boling padang negara Simon Botha berkata beliau sangat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Siti Zalina dan Emma Firyani yang disifatkan sangat luar biasa.

"Mereka telah membuatkan saya bangga, bukan hanya saya, kami semua rasa bangga dengan pencapaian mereka hari ini. Saya beritahu mereka jangan mengalah, teruskan beraksi dan kumpul mata. Mereka telah lakukan yang terbaik dan pamer aksi menakjubkan,” katanya.

Skuad boling padang bermula dengan baik apabila tujuh daripada lapan disiplin yang disertai, berjaya mara ke suku akhir dan enam lagi terkandas.

Sumber: BERNAMA