WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

IBARAT MIMPI RAIH TIGA PERAK, SATU GANGSA - KOI SIE YAN

Umpama mimpi, gimnas negara Koi Sie Yan tidak pernah menyangka meraih tiga pingat perak dan satu gangsa pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast


Back To Sports Updates

GOLD COAST, 13 April (Bernama) -- Umpama mimpi, gimnas negara Koi Sie Yan tidak pernah menyangka meraih tiga pingat perak dan satu gangsa pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Gimnas berusia 19 tahun itu bangkit daripada kekecewaan dalam acara gimrama individu keseluruhan dan berakhir pada kedudukan kelapan pada Khamis.

“Tidak pernah terlintas pada fikiran, saya boleh kumpul pingat sebanyak ini. Jurulatih (Lidia Legotina) nasihatkan saya supaya buat seperti biasa seolah-olah sedang menari, jadi saya hanya menari tanpa memikirkan pingat kerana tidak mahu meletakkan tekanan.

“Jurulatih suruh saya luahkan perasaan melalui tarian dan ternyata nasihat tersebut memberi impak yang besar terhadap persembahan saya hari ini,” katanya yang telah meletakkan tekanan yang terlalu tinggi keatas dirinya selepas persembahan acara gimrama individu keseluruhan, semalam.

Beliau telah membantu pasukan gimrama yang terdiri daripada Amy Kwan Dict Weng dan Izzah Amzan, memperbaiki pencapaian dengan meraih pingat perak dalam acara berpasukan.

Sie Yan seterusnya hari ini, menggondol dua lagi pingat perak dalam acara bola individu dan belantan individu sebelum meraih pingat gangsa acara riben individu.

Pingat emas acara bola individu menjadi milik gimnas Cyprus Diamanto Evripidou dan gangsa dimiliki tuan rumah Alexandra Kiroi Bogatyreva.

Bagi acara belantan individu pula, Sophie Crane dari Kanada meraih pingat emas dan Diamanto menang gangsa manakala dalam acara riben, pingat emas milik Malaysia melalui Amy dan perak milik Diamanto.

Dalam perkembangan lain, Sie Yan mengakui cabaran pada Sukan Asia lebih sengit jika dibandingkan dengan Sukan Komanwel dengan adanya gimnas dari China.

Sumber: BERNAMA