WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

SEJARAH TERCIPTA DALAM ACARA SKUASY LELAKI DI SUKAN KOMANWEL

Sejarah tercipta buat kontinjen Malaysia pada hari kelima berlangsungnya temasya Sukan Komanwel 2018 di sini


Back To Sports Updates

KOMANWEL-RANGKUMAN

GOLD COAST, 9 April (Bernama) — Sejarah tercipta buat kontinjen Malaysia pada hari kelima  berlangsungnya temasya Sukan Komanwel 2018 di sini.

Mohd Nafiizwan Mohd Adnan muncul pemain skuasy lelaki pertama menyumbang pingat buat kontinjen negara dalam sejarah sukan itu apabila meraih pingat gangsa acara perseorangan lelaki.

Dalam  acara yang berlangsung di Oxenford Studios, pemain berusia 31 tahun itu mengetepikan Joel Makin dari Wales 3-2.

Bagaimanapun, satu tamparan buat kontinjen negara apabila ratu skuasy negara Datuk Nicol David gagal menyumbang pingat gangsa manakala skuad badminton pula gagal mempertahankan pingat emas acara berpasukan campuran.

Nicol yang gagal dalam misi mempertahankan emas semalam, tunduk kepada pemain dari Wales Tesnia Evans 1-3 dalam perlawanan penentuan gangsa di Oxenford Studios.

Skuad badminton juga longlai apabila tewas 1-3 kepada India dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Carrara Sports and Leisure Centre.

Skuasy dan badminton masih mempunyai peluang memperbaiki rekod di Sukan Komanwel apabila masing-masing akan memulakan cabaran dalam acara beregu (skuasy) dan individu (badminton).

Walaupun beberapa percubaan meraih emas tidak berhasil, kontinjen negara masih mempunyai harapan dalam beberapa acara yang akan dipertandingkan dan menawarkan pingat esok termasuk menembak, powerlifting dan renang para.

Selain itu, kontinjen negara masih mencari peluang dalam acara  hoki dan boling padang untuk mara hingga ke perlawanan penentuan pingat.

Sumber: BERNAMA