WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

06.00am - 10.00am

STRATEGI PSIKOLOGI BAWA TUAH KEPADA NAFIIZWAN

Pencapaian Mohd Nafiizwan itu menjadikan beliau muncul pemain skuasy lelaki Malaysia pertama meraih pingat di temasya sukan empat tahun sekali itu


Back To Sports Updates

Daripada Karina Imran

GOLD COAST, 9 April (Bernama) – Strategi psikologi yang digunakan pemain skuasy perseorangan lelaki negara, Mohd Nafiizwan bagi mengurangkan tekanan, berhasil apabila berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel 2018 di sini, hari ini.

Lebih manis lagi, pencapaian Mohd Nafiizwan itu menjadikan beliau muncul pemain skuasy lelaki Malaysia pertama meraih pingat di temasya sukan empat tahun sekali itu.

“Saya rasa juara dunia pun akan berasa tekanan apabila bersaing pada kejohanan besar macam Sukan Komanwel dengan  kehadiran lebih 3,000 penonton, tetapi  saya bersyukur, strategi ‘reverse psychology’ yang digunakan mampu menjadikan saya pemain lebih baik.

“Apa yang saya lakukan adalah dengan menganggap aksi hari ini bukan perlawanan untuk rebut pingat tapi hanyalah sesi latihan. Dengan berfikiran seperti itu, tekanan dan bebanan yang saya tanggung berkurang.

“Bila tekanan kurang atau pun saya tidak merasa sebarang tekanan, saya boleh janjikan satu perlawanan yang cukup mudah untuk saya atasi,” katanya selepas tamat perlawanan di Oxenford Studio, hari ini.

Mohd Nafiizwan, yang kini berada di ranking ke-35 dunia, menang 3-2 ke atas pemain ke-43 dunia Joel Makin dari Wales untuk meraih pingat gangsa.

Terdahulu, Mohd Nafiizwan membuat kejutan di suku akhir apabila menewaskan juara dunia tiga kali, Nick Matthew dari England, sebelum  tewas kepada pemain pilihan keempat, James Willstrop juga dari England, di separuh akhir.

Mengulas mengenai kemenangannya itu, Mohd Nafiizwan mendedikasikan pingat gangsa pertama perseorangan lelaki acara skuasy Sukan Komanwel itu kepada seluruh rakyat Malaysia.

Mohd Nafiizwan yang akan bergandingan dengan Ivan Yuen, dijadual bertemu Othniel Bailey-Omari Wilson dari Saint Vincent and the Grenadines (SVG), dalam acara beregu lelaki, bermula esok. 

Sumber: BERNAMA