WHAT'S NEXT

ANTAP BREAKFAST

06.00am - 10.00am

REVOLUSI DIGITAL: PENYOKONG BOLA SEPAK ASET KEPADA PASUKAN

Revolusi digital dalam bola sepak perlu diaplikasikan bagi meningkatkan perniagaan dan merapatkan hubungan dengan penyokong


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Penyiaran sukan kini bukan sahaja tertumpu kepada televisyen malah ia juga dapat ditonton menerusi telefon pintar, komputer riba, dan tablet.

Namun demikian, revolusi digital tidak akan berjaya sekiranya para pentadbir persatuan atau organisasi sukan masih berfikiran ortodoks.

Menurut Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustafa, pasukan negeri atau kelab bola sepak perlu menggunakan platform digital sebagai medan perniagaan dan hubungan dengan penyokong mereka.

“Saya kongsikan dalam satu kajian, 78 peratus pengguna internet mempercayai perkongsian mengenai sukan di media sosial.

"Ini menunjukkan betapa pentingnya teknologi digital dalam bola sepak terutama sekali generasi belia," katanya, hari ini.

Tambah beliau, penggunaan platform digital mampu menambah baik industri bola sepak dari aspek perniagaan, penjualan tiket, serta urus tadbir pasukan sesuai dengan keperluan dan landskap peminat sukan.

Bagi Ketua Unit Perhubungan Media Soljabiru Futsal Team, Luqman Zainal Abidin pula, katanya revolusi yang diterapkan ini mampu meningkatkan jumlah penonton dan memberi peluang kepada mereka menontonnya di mana-mana sahaja.

“Setiap pasukan perlu mempunyai dana bagi mengendalikan hal-hal media supaya media sosial aktif dan mempunyai individu dilantik bagi merapatkan pasukan dengan penyokong,” katanya sambil menyifatkan penyokong sebagai aset pasukan bola sepak.

“Jika unit media aktif secara digital, penyokong akan lebih tertarik membeli barangan rasmi, tiket bermusim, dan sebagainya,” tambahnya.

Kini, dengan adanya revolusi digital bola sepak, peminat boleh menonton sukan itu melalui alat peranti mereka.

Langkah ini sangat ideal kerana pada tahun 2017, terdapat 25.5 juta pengguna internet yang merangkumi 83 peratus rakyat Malaysia.

Sumber: Awani