WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

NEYMAR TAKKAN SERTAI REAL - SUAREZ


Back To Sports Updates

BARCELONA: Penyerang Barcelona, Luis Suarez bertegas dia tidak percaya bekas rakan sepasukannya, Neymar akan menyertai seteru utama, Real Madrid disebabkan 'kekagumannya' terhadap Barca.

Neymar menghabiskan tempoh selama empat tahun di Nou Camp sebelum membuat perpindahan penuh sensasi ke Paris Saint-German pada Ogos lalu dengan nilai rekod dunia AS$264 juta (RM1.073 bilion).

Begitupun, timbul khabar angin yang mengatakan pemain Brazil itu akan kembali ke Sepanyol untuk menyertai juara Eropah itu selepas dia dikatakan bertelagah dengan rakan senegara Suarez di Uruguay, Edison Cavani.

"Tidak, langsung tidak," kata Suarez kepada akhbar sukan harian Sepanyol, Marca ketika ditanya mengenai prospek perpindahan Neymar ke Real.

"Sejujur-jujurnya, saya tidak melihatnya. Saya tahu kekaguman Neymar terhadap Barcelona dan rakan sepasukannya. Saya tidak melihat bagaimana dia akan bermain untuk Real Madrid."

Bersama Pemain Terbaik Dunia lima kali, Lionel Messi, Suarez dan Neymar membentuk gandingan serangan paling berbahaya untuk membantu Barca menjulang dua gelaran La Liga dan Liga Juara-Juara dalam tempoh tiga musim.

"Neymar sudah cukup matang dan sedar dengan keputusan yang diambilnya," kata Suarez. "Saya yakin ia menyakitkan kerana dia gembira di sini, tetapi kami perlu menerima yang dia mahukan cabaran yang lain dan dia mahu mengambilnya." - Berita Harian