WHAT'S NEXT

RENTAK RUAI

02.00pm - 05.00pm

SUKAN SEA: MALAYSIA BAKAL GUNAKAN TEKNOLOGI SEMAKAN VIDEO SEPAK TAKRAW

Buat kali pertamanya dalam sejarah Sukan SEA, teknologi semakan video bakal digunakan untuk sukan sepak takraw


Back To Sports Updates

BUAT kali pertamanya dalam sejarah Sukan SEA, teknologi semakan video bakal digunakan untuk sukan sepak takraw apabila Malaysia menganjurkan temasya dwitahunan itu yang bermula dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc), Datuk Seri Zolkples Embong, yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya membangunkan teknologi baharu melibatkan banyak kamera untuk membuat keputusan yang tepat dan adil.

Beliau berkata ini kerana semakan video untuk sepak takraw adalah berbeza berbanding teknologi Hawk-Eye, yang digunakan secara meluas dalam sukan tenis, badminton, ragbi dan bola tampar.

"Semakan video sepak takraw berbeza dengan Hawk-Eye kerana ia hanya melibatkan ulangan untuk memastikan bola keluar atau masuk sahaja. Tetapi dalam sepak takraw, bantahan boleh dibuat untuk menghalang, lipatan, servis tekong dan sebagainya.

Kadang-kadang dari sudut mana pun, kita tidak nampak. Jadi kebanyakan keputusan masih bergantung kepada penilaian yang dibuat oleh pengadil dan pegawai-pegawai teknikal seperti dalam sukan hoki dan bukannya automatik seperti badminton," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen penajaan Sukan SEA di antara Masoc dan Sony (Malaysia) Sdn Bhd di Menara KBS di sini, hari ini.

Teknologi semakan video digunakan buat kali pertama di Malaysia dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2016.

Sebanyak 12 pingat emas dipertandingkan dalam acara sepak takraw Sukan SEA kali ini, yang akan berlangsung pada 16 hingga 30 Ogos di Stadium Titiwangsa di sini.

Mengenai skuad olahraga negara yang masih tidak dapat menggunakan venue pertandingan, iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil untuk latihan, Zolkples berkata mereka hanya boleh menggunakan stadium itu dua hari sebelum sukan olahraga membuka tirai, iaitu pada 20 Ogos.

"Ini kerana stadium tersebut ditutup untuk kerja-kerja persediaan upacara perasmian pada malam 19 Ogos. Apa pun, banyak peluang telah diberikan kepada atlet-atlet negara sebelum ini, termasuk acara Pra-Sukan SEA manakala tempat latihan Majlis Sukan Negara (MSN) juga mempunyai trek yang sama.

"Atlet kita memang mempunyai banyak kelebihan dan buktinya, Khairul Hafiz Jantan berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter di trek itu," katanya.

- Sumber dari Bernama