WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND BEAT

05.00pm - 09.00pm

'TUNJUK BELANG' SUNTIK SEMANGAT BANGKIT BERSAMA

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) melancarkan satu lagi daripada tiga lagu tema bagi temasya Sukan SEA ke-29


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) melancarkan satu lagi daripada tiga lagu tema bagi temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (KL2017).

Menurut kenyataan Masoc, lagu tersebut yang berjudul ‘Tunjuk Belang' dinyanyikan tiga artis terkenal tanah air iaitu loQue, Azlan (The Typewriter) dan maliQue.

Lagu berdurasi empat minit itu ditulis dan diterbitkan oleh loQue sementara penyanyi rap terkenal maliQue turut menyumbang lirik dan elemen rap lagu tersebut.

"loQue yang juga dikenali sebagai monoloQue merupakan pengasas dan bekas komposer utama bagi kumpulan muzik Butterfingers. Hasil karya beliau bersama kumpulan tersebut pernah mendapat beberapa pencalonan di Anugerah Industri Muzik (AIM) Malaysia.

"Kecenderungan beliau kini terhadap muzik yang bersifat nusantara menjadikan karyanya di dalam lagu Tunjuk Belang ini sesuai untuk cita rasa penonton KL2017 yang berbeza di seluruh rantau ini," kata kenyataan itu.

Turut sama dilancarkan pada Isnin adalah video muzik bagi lagu tersebut yang diarahkan oleh Daryl Emuang, dan boleh ditonton di saluran YouTube rasmi KL2017.

Rakaman video muzik tersebut juga memaparkan beberapa aksi menarik antaranya penggambaran di atas bumbung sebuah bangunan di Kuala Lumpur dan juga petikan video aksi kemenangan atlet negara seperti Ziyad Zolkefli, Latif Romly, Cheong Jun Hoong dan Azizulhasni Awang.

Lagu dan video muzik bagi Tunjuk Belang boleh dimuat turun daripada aset digital KL2017 iaitu di akaun rasmi YouTube dan akaun media sosial KL2017 lain seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Sebelum ini lagu tema yang berjodol ‘So Many Hands' nyanyian Mia Palencia telah dilancarkan pada 13 Julai dan diguna pakai dalam iklan rasmi KL2017 bertajuk ‘It Takes a Nation to Raise a Champion' (Bersama, Kita Lahirkan Juara)” dan versi Bahasa Melayu lagu tersebut dinyanyikan oleh Asmidar dengan tajuk ‘Tangan-Tangan Yang Menjulang'.

Masoc dijadual akan melancarkan lagu tema terakhir KL2017, daripada kempen menyumbang lirik yang diketuai komposer terkenal Datuk Ramli MS dan penyanyi Dayang Nurfaizah, pada 8 Ogos ini.

- Sumber dari mStar