WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

CHONG WEI PERLU TAMPIL BERBEZA

Gaya permainan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bukan lagi ancaman kepada pemain lain


Back To Sports Updates

Gaya permainan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bukan lagi ancaman kepada pemain lain.

Hakikat itu diakui sendiri Chong Wei selepas melihat seteru utamanya, Lin Dan tampil berbeza ketika sukan Olimpik Rio tahun lalu, untuk menewaskannya dalam dua pertemuan terakhir mereka di Terbuka Malaysia dan Kejohanan Asia, baru-baru ini.

Bagi pemain nombor satu dunia itu, sesuatu perlu dilakukan seandainya ingin meraih gelaran di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 21 hingga 27 Ogos ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu yang memburu peluang meraih gelaran utama pertamanya, menjelaskan pencabarnya bukan sekadar Lin Dan tetapi juga juara bertahan, Chen Long yang meraih tiket wild card serta dua pemain muda China yang lain, Shi Yuqi dan Tian Houwei.

Untuk rekod, Chong Wei kecundang dua kali di final Kejohanan Dunia di tangan Chen Long iaitu 2014 dan 2015 dan sebelum itu tewas di perlawanan akhir menentang Lin Dan pada 2011 dan 2013.

Namun pingat perak edisi 2014 ditarik balik oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif doping.

“Kalau mahu menang Kejohanan Dunia, saya perlu bermain dengan semua pemain, tiada jalan mudah.  Saya juga terkejut Chen Long boleh dapat wild card dan pemain dari China yang layak pula tiga orang. Pesaing negara lain juga kuat.

“Saya perlu terima cabaran ini, seperti yang saya katakan lebih baik untuk saya fokus persiapan diri sendiri,” katanya.

Kena bangkit!

BAGI jurulatih Chong Wei, Hendrawan berpandangan selain strategi dan taktik baharu, paling penting bagi pemain seperti Chong Wei adalah mengembalikan semangat mahu menang dalam setiap kejohanan yang disertainya terutamanya Kejohanan Dunia itu nanti.

Mengenai Chen Long yang meraih tiket wild card, beliau berkata anak buahnya itu perlu berfikiran positif dan menggandakan persiapan berbanding sebelum ini.

“Selalu saya cakap dengan Chong Wei, kemahuan untuk menang perlu menjadi keutamaan. Menjelang Kejohanan Dunia itu nanti semangat beliau perlu lebih tinggi lagi seperti prestasinya di Sukan Olimpik...kita boleh nampak perasaan tidak mahu kalah daripadanya ketika itu," katanya.

Terima hakikat

TAMBAH Hendrawan lagi, buat masa ini semua pihak perlu menerima kekalahan Chong Wei.

Katanya, beliau yakin selepas ini juara Seluruh England itu tampil berbeza selepas menjalani latihan dalam usaha mengubah taktik permainannya.

"Saya yakin dalam latihan selepas ini, kami mampu melakukan beberapa perubahan dan saya juga telah berbincang dengannya mengenai perkara itu," kata Hendrawan.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan Chong Wei, prestasi Lin Dan dalam dua kejohanan baru-baru ini sangat berbeza namun ia bukan penghalang untuk pemainnya itu kembali kompetitif.

Wild card

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberi tiket wild card  kepada Chen Long selepas dia terlepas tiket kelayakan automatik berdasarkan ranking dunia  pada 27 April - iaitu tarikh akhir menentukan jumlah pemain yang layak beraksi pada Kejohanan Dunia kali ini. Ia berdasarkan status Chen Long sebagai juara dunia dan juara Olimpik.

- Sumber dari Sinar Harian