WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

ATLET JALAN KAKI WANITA NEGARA CIPTA REKOD PERIBADI BAHARU

Atlet jalan kaki wanita negara, Elena Goh Ling Yin berjaya mencipta rekod peribadi baharu sekaligus merangkul pingat emas


Back To Sports Updates

Lumut: Atlet jalan kaki wanita negara, Elena Goh Ling Yin berjaya mencipta rekod peribadi baharu sekaligus merangkul pingat emas acara 10,000 meter jalan kaki wanita akhir di Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Elena, 21, berjaya memecah rekod peribadi terbaiknya setelah mencatat masa 51 minit 42.42 saat berbanding 51 minit 45 saat yang dilakar semasa Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura 2014.

Penuntut Universiti Malaya dalam bidang pengurusan sukan itu, menewaskan rakan sepasukan yang juga bekas jurulatih dan atlet kebangsaan, Yuan Yu Fang yang mencatat masa 54 minit 57 saat, diikuti Nurul Alyahaziqah Kamarazaman dari Kelantan yang meraih gangsa.

Elena berkata dia akan terus memperbaiki catatan masa bagi mencapai hasratnya meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

"Persaingan dijangka sengit pada Sukan SEA nanti, tetapi saya mengidamkam pingat emas selepas gagal memenanginya pada Sukan SEA edisi lepas. Paling tidak, saya mahu berada di kedudukan ketiga," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Elena terpaksa melupakan aksi sulung pada temasya sukan dwitahunan itu di Naypyidaw, Myanmar pada 2013 kerana perlu memberi tumpuan terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Beliau terus berdepan kekecewaan dalam penampilan pertamanya di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu dalam acara 20km jalan kaki, apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keempat ekoran kecederaan lutut kanan dan kiri.

Elena yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata dia terpaksa berhati-hati setiap kali menjalani latihan agar kecederaannya itu tidak berulang, yang boleh menjejaskan hasratnya meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur nanti.

"Saya terpaksa mendapatkan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) setiap kali latihan terutama ketika latihan berat kerana tidak mahu kecederaan saya menjadi serius," katanya bahawa kecederaan yang dialaminya itu semakin pulih.

Bagi acara melontar peluru wanita, pingat emas dimenangi Bibi Nuraishah Ishak dari Kelantan dengan lontaran sejauh 12.83m, mengetepikan pencabarnya dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Norliyana Kamaruddin dan Noor Far Diana dari Perlis, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Atlet lempar cakera kebangsaan, Mohd Irfan Shamsuddin turut menyinar pada kejohanan tersebut apabila meraih emas selepas melakukan lemparan sejauh 56.91m, manakala Luqman Hakim Ramlan dari Kuala Lumpur memenangi pingat emas acara lompat jauh lelaki dengan catatan 7.62 meter.

Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia dan Kejohanan Olahraga Terbuka Perak yang diadakan serentak di sini, berlangsung selama dua hari, berakhir hari ini.

- BERNAMA