KUCHING: Jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei mengetuai cabaran pemain negara mara ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Malaysia selepas dua beregu utama - lelaki dan wanita gagal melepasi halangan awal mereka.
Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, terus menyaksikan Chong Wei kekal harapan terbaik negara di kejohanan yang menawarkan hadiah US$600,000 (RM2.64 juta), sekali gus memburu gelaran kali ke-12.
Chong Wei kini menjadi wakil tunggal negara dalam acara ini, apabila menang 21-16, 21-18 untuk mengenepikan cabaran Rajiv Ouseph dari England selepas Liew Daren tunduk 12-21, 13-21 di tangan Viktor Axelsen dari Denmark.Beliau yang juga pilihan pertama kejohanan akan berdepan wakil Hong Kong, Hu Yun di pusingan kedua esok, yang mara selepas menundukkan pemain Denmark, Anders Antonsen 21-17, 19-21, 21-10.
Kejayaan Chong Wei sedikit sebanyak melegakan penonton selepas melihat pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu wanita, Woon Khe Wee-Vivian Hoo gagal melepasi halangan pertama mereka.
V Shem-Wee Kiong yang juga pilihan utama beregu lelaki tewas 17-21, 21-23 kepada Tang Chun Man-Or Chin Chung dari Hong Kong manakala Khe Wei-Vivian tunduk di tangan pasangan China, Bao Yixin-Yu Xiaohan 21-13, 17-21, 26-28.
Namun kekecewaan peminat terubat apabila satu lagi pasangan negara, Choo Kah Ming-Low Juan Shen meneruskan kemaraan selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lee Jhe-huei-Lee Yang 22-20, 21-16.
Cabaran beregu wanita negara kini hanya digalas gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean selepas mereka menewaskan beregu Indonesia, Dian Fitriani-Nadya Melati 21-18, 21-14 selepas bertarung selama 38 minit.
Mei Kuan-Meng Yean dijadual menentang pilihan keempat dari China, Chen Qingben-Jia Yifan yang mara selepas menewaskan pasangan England, Lauren Smith-Sarah Walker 21-13,21-14.
Perseorangan wanita menyaksikan pemain muda negara, Goh Jin Wei mara ke pusingan kedua selepas menundukkan wakil Indonesia, Yulia Yosephine Susanto 21-15, 20-22, 21-17.
Pada pusingan kedua, Jin Wei akan berdepan pemain China, Chen Yufei yang membuat kejutan menewaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 yang juga juara Terbuka India minggu lalu, Pusarla V Sindhu dari India 18-21, 21-19, 21-17.
I would love to receive more updates from CatsFM !