WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

PECUTAN BERGAYA

Vinales, 22, yang menjadi tajuk berita sepanjang sesi ujian pramusim termasuk ujian di Qatar


Back To Sports Updates

Doha: Penunggang Yamaha dari Sepanyol Maverick Vinales (gambar) memenangi aksi pembuka tirai musim MotoGP di Qatar, awal pagi semalam selepas berjaya mengatasi cabaran sengit Andrea Dovizioso yang kerap kali memintasnya sepanjang tujuh pusingan terakhir.

Vinales, 22, yang menjadi tajuk berita sepanjang sesi ujian pramusim termasuk ujian di Qatar, memperbaiki permulaan buruknya walaupun bermula di petak utama untuk menang dan melonjakkan lagi prestasi serta reputasinya musim ini.

“Ia terasa sangat hebat,” katanya selepas menang.

“Secara jujur, litar ini memang sukar. Saya terlalu berhati-hati pada permulaan perlumbaan.

“Bagaimanapun, jentera saya tidak mengecewakan. Saya harus mengucapkan terima kasih kepada pasukan. Walaupun ketika kami berada dalam keadaan sukar, kami tetap bersatu.”

Vinales memenangi perlumbaan yang terpaksa dipendekkan kepada 20 pusingan selepas hujan dan litar basah memaksa permulaan ditangguhkan selama 45 minit.

Bagaimanapun, penganjur tetap mampu tersenyum apabila cuaca kembali baik walaupun ramalan mengatakan hujan lebat mungkin menjejaskan aksi di Qatar kerana sebelum itu, sesi kelayakan terpaksa dibatalkan akibat ribut petir.

Dovizioso yang menunggang Ducati, menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi di tempat ketiga bersama Yamaha walaupun bermula di petak ke-10.

“Ia memang sukar,” kata Dovizioso. “Kami sedar kami tidak dapat menunggang dengan kepantasan biasa.

“Saya cuba menyaingi Maverick hingga garisan penamat. Saya cuba memintasnya di pusingan terakhir tapi dia terlalu jauh di depan.”

Rossi berkata: “Saya tidak tahu apa yang berlaku tapi saya berjaya menunggang dengan baik.

“Pengambilan selekoh saya juga baik. Saya harap keadaan sebegini akan berterusan sepanjang musim ini.”