WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

BADDROL PEMAIN TERBAIK LIGA SUPER PFAM BULAN FEBRUARI

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar menerima suntikan semangat untuk melakar lebih banyak pencapaian bersama skuad Helang


Back To Sports Updates

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar menerima suntikan semangat untuk melakar lebih banyak pencapaian bersama skuad Helang Merah apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Super Bulan Februari 2017 Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) - asiana.my selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam Liga Malaysia sepanjang bulan lalu.

Baddrol merupakan antara lima calon yang disenarai pendek untuk anugerah bulanan itu iaitu Mark Hartmann (Sarawak), Matheus Alves (Pahang), Mohamadou Sumareh (Pahang) dan Muhammad Ghaddar (Kelantan).

Pemain berusia 29 tahun itu merupakan pemenang pertama untuk musim baharu Liga Super selepas meraih lebih 17,000 undian untuk menewaskan calon lain dan merangkul anugerah tersebut buat kali kedua sepanjang kariernya selepas menerima pengiktirafan yang sama pada Ogos tahun lalu.

Pemilihan pemain tengah Kedah itu nyata tepat memandangkan prestasinya membantu skuad Hijau Kuning memenangi beberapa perlawanan penting untuk melonjak pasukannya ke tangga teratas Liga Super.

Sepanjang kempen Liga Malaysia 2017,  Baddrol telah menyumbang empat gol tetapi kecederaan pangkal paha yang dialaminya pada aksi menentang Pulau Pinang pada 25 Februari lalu menyebabkan dia terlepas beberapa aksi getir termasuk ketika seri 1-1 menentang Selangor.

 

 

Mengulas tentang kejayaan tersebut, Baddrol menyampaikan rasa terima kasihnya kepada pihak PFAM kerana mengiktiraf aksi-aksi pemain di Liga Malaysia.

Selain itu, dia berharap PFAM akan terus komited untuk menganjurkan anugerah pemain bulanan yang kini telah memasuki tahun ketiga.

"Kejayaan ini datang hasil sokongan keluarga dan penyokong terhadap karier bola sepak saya.

"Malah prestasi pasukan Kedah yang begitu cemerlang pada awal musim ini menyumbang kepada kejayaan saya ini," katanya.

Anugerah itu disampaikan Presiden PFAM, Hairuddin Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia Izham Ismail pada satu majis ringkas yang diadakan di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam pada Ahad.

Turut hadir, wakil dari barisan penaja yang terdiri dari 139associates, MVP Sports Agency, Kobert, Ideasia dan Adeqsue.

Baddrol menerima hadiah plak, wang tunai RM1,500 sumbangan 139associates dan MVP Sports Agency, trofi sumbangan Ideasia, baucer barangan sukan bernilai RM500 sumbangan Kobert dan gambar beserta bingkai pemain sumbangan Asiana.my

Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM – asiana.my ini dikelolakan oleh PFAM dengan kerjasama All Sports Images and News Agency (asiana.my) dan merupakan satu pengiktirafan kepada pemain-pemain bola sepak profesional daripada PFAM.

Sesi pemilihan dibuat melalui panel pemilih PFAM - Asiana.my yang terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan dan undian akan dibuka kepada seluruh peminat bola sepak di Malaysia.

Baddrol menerima undian tertinggi sebanyak 65% (17,073 Undi) mengalahkan empat calon lain iaitu Muhammad Ghaddar (23% - 6,020 Undi), Matheus Alves  (7% - 1,830 Undi), Mark Hartmann (3% - 765 Undi) dan Mohammadou Sumareh (2% - 521 Undi).

Undian pada bulan ini juga mencatatkan jumlah undian tertinggi sepanjang penganjuran anugerah pemain terbaik bulanan dilancarkan pada Mei 2015.