• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

KISAH GIMNAS ELI DAN TRADISI EMAS DALAM KELUARGA

SIAPA sangka di sebalik ketangkasan tubuh lembut selaku seorang gimnas kebangsaan, Nur Eli Ellina Azmi


Back To Sports Updates

SIAPA sangka di sebalik ketangkasan tubuh lembut selaku seorang gimnas kebangsaan, Nur Eli Ellina Azmi sebenarnya turut cenderung dengan hobi bermain pebagai jenis alat muzik.

Piano, organ dan biola sudah lama menjadi ‘santapan jiwa’ mudanya jika dia kebetulan tidak dikerah untuk melenturkan tubuhnya dalam melakukan pelbagai latihan rutin di gelanggang gimnastik artistik.

Namun fokusnya kini sibuk terarah kepada persiapan harian selaku gimnas elit negara. Anak didik Nataliya Sinkova ini sedang giat menjalani latihan menjelang Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, akhir Ogos nanti.

Ini kerana Nur Eli, 21, berazam mempertahankan satu warisan tradisi yang membanggakan keluarganya. Bapanya, Azmi Hassan merupakan ahli perniagaan dan juga presiden Persatuan Gimnastik Putrajaya.

Allahyarhamah ibunya, Azizah Juno, pernah menjawat tugas bendahari Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) manakala abangnya Mohd. Azzam, pula kini bertugas di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.

Untuk rekod, Mohd. Azzam ialah pemenang pingat emas berpasukan dalam Sukan SEA ke-23 Manila, Filipina 2005, disusuli gangsa berpasukan pada temasya serantau ke-24 di Korat, Thailand 2007.

Kakaknya, Nur Ily Ilyana pula kebetulan menjadi hakim gimnastik dan seterusnya memikul tugas selaku jurulatih tempatan selepas pernah mengharumkan nama Selangor dalam sukan yang sama.

Tidak hairanlah Eli yang juga anak bongsu daripada lima beradik, harus tampil cemerlang dalam gimnastik artistik sekali gus mengulangi sejarah gemilang pernah dilakarkan anggota keluarganya sendiri.

“Dulu ibu bapa dan abang kakak menemani saya curi-curi berlatih di dewan pada sebelah malam semata-mata untuk memastikan minat saya disemai daripada awal,” katanya yang meminati lagu slow rock.

Penuntut jurusan sains sukan dan rekreasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam, Selangor, Eli sebenarnya bukan ‘muka baharu’ dalam membuat penampilan sepanjang Sukan SEA.

Jika ditakdirkan terpilih untuk cabaran Ogos nanti, ia malah bakal menjadi penampilan ketiga buat Eli. Pada penyertaan sulungnya, Eli membawa pulang pingat perak dalam acara batang titian di Palembang 2011.

Sesudah pihak berkuasa Myanmar menggugurkan acara gimnastik pada edisi 2013, skuad negara bagaimanapun bangkit cemerlang untuk mengutip emas berpasukan di Singapura pada temasya 2015.

Rekod bersejarah tersebut dilakar menerusi gandingan Eli bersama-sama dengan Farah Ann Hadi, Tracie Ang, Tan Ing Yueh, Lavinia Raymund Jayadev dan Siti Nur Bahirah Ahmad.

Skuad negara kali ini akan beraksi dalam lima disiplin – batang titian, palang bertingkat, melombol, senaman lantai dan berpasukan – bagi merebut peluang mengharumkan nama negara di depan penyokong sendiri.

Sama ada Eli meraih emas atau pingat sebarang warna dalam acara berpasukan mahupun individu, gadis cilik ini harus mengalunkan satu nota kemenangan untuk ditujukan kepada keluarga tercinta.

BIODATA Nur Eli Elliana Azmi

Tarikh lahir: 11 September, 1995
Tinggi: 148 sentimeter
Berat: 46 kilogram
Keluarga: Azmi Hassan (bapa), Allahyarhamah Azizah Juno (ibu), Mohd Azzam, Nur Ily Ilyana, Muhammad Azzri, Muhammad Azzim
Pendidikan: Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam, Sekolah Sukan Bukit Jalil, kini Sains Sukan dan Rekreasi di UiTM Shah Alam
Makanan kegemaran: Asam laksa, lai chee kang
Pencapaian: Emas batang titian dan lombol individu, gangsa senaman lantai Kejohanan Terbuka Gimnastik Artistik Singapura 2016, emas senaman lantai, gangsa berpasukan dan batang titian Sukma 2016, emas berpasukan Sukan SEA 2015, tangga kelapan berpasukan Sukan Komanwel 2014, gangsa berpasukan Kejohanan Jemputan Komanwel 2014, dua emas individu Sukma 2012, perak batang titian Sukan SEA Palembang 2011.

 

Sumber:– Majlis Sukan Negara/Mynewshub.cc/HAA