WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

SARAWAK BERPESTA GOL BELASAH MISC-MIFA

Sarawak berpesta gol membelasah pasukan MISC-MIFA, 6-3 dalam saingan pusingan kedua Piala FA


Back To Sports Updates

Sarawak berpesta gol membelasah pasukan MISC-MIFA, 6-3 dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Negeri, Kuching di sini, yang berakhir sebentar tadi. Skuad Bujang Senang membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi Mark Andrew Hartmann yang menyempurnakan sepakan dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Tommy Mawat.

Jaringan kedua menyusul menerusi Mateo Roskam, 13 minit selepas itu, sebelum pertahanan kebangsaan Ronny Harun mengambil giliran pada minit ke-34 untuk meletakkan kedudukan Sarawak selesa 3-0 di depan. MISC-MIFA cuba bangkit selepas itu, namun sentiasa buntu. Sebaliknya, Roskam tampil sekali lagi untuk menghadiahkan gol keempat buat skuad Bujang Senang.

Ketika skuad kendalian Jacob Joseph cuba bangkit, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Satheskumar Vingkatasin dilayangkan kad merah apabila didapati bersalah mengasari Mohammad Hafiz. Keceriaan Sarawak bagai direntap dengan jaringan pertama MISC-MIFA pada minit ke-56 menerusi kapten pasukan, Ooi Shee Keong bagi memecah kebuntuan tetapi Hartmann menambah koleksi gol Sarawak untuk terus selesa dengan kedudukan 5-1.

Kesilapan pertahanan Bujang Senang mengundang padah apabila pengadil perlawanan menghadiahkan dua sepakan penalti kepada MISC-MIFA selepas itu. Peluang keemasan itu dimanfaatkan pemain import pelawat, Micheal Chukwubunna Ijezie untuk merapatkan defisit gol kepada 5-3.

Tersentak dengan dua gol MISC-MIFA itu, Sarawak kembali membuat percaturan baharu dan strategi David Usop terbukti berhasil apabila Hartmann melengkapkan hatrik untuk membantu skuad Bujang Senang mencetak kemenangan bergaya 6-3 dalam pesta gol itu.