WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

5,000 HINGGA 10,000 PENYOKONG DIBENAR MEMASUKI STADIUM

Negeri yang berada dalam Fasa 2 dibenarkan 20 peratus atau 5,000 penonton


Back To Sports Updates

Kuala Lumpur: Tiada lagi perlawanan sendu selepas ini apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menetapkan 5,000 hingga 10,000 penyokong dibenarkan memasuki stadium sebaik bermulanya saingan Piala Malaysia 2021.

Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa.

Bagi negeri yang berada dalam Fasa 2 dibenarkan 20 peratus atau 5,000 penonton (yang mana lebih rendah) diikuti Fasa 3 pula adalah sebanyak 30 peratus atau 10,000 penonton (yang mana lebih rendah) manakala fasa 4 membabitkan 50 peratus atau 20,000 penonton (yang mana lebih rendah) daripada kapasiti venue yang digunakan untuk hari pertandingan.

"MFL mahu merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mengumumkan kebenaran kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

"Apa yang pasti ia menjadi satu langkah yang baik bagi melonjakkan kembali industri bola sepak negara apatah lagi kita sedang meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia selepas kejohanan ini terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19 pada tahun lalu.

"Di sini MFL memberikan kebenaran kepada kelab untuk mengikut kuota penyokong yang ditetapkan atau mengurangkan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan kelab daripada segi pengurusan petugas stadium, pasukan keselamatan atau pegawai pada hari perlawanan bermula dengan aksi minggu ketiga Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

"Apa yang penting juga, hanya penyokong atau penonton sudah lengkap divaksinasi boleh masuk ke stadium selain wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

Manakala bagi kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan berada di stadium mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ghani turut memaklumkan bahawa penyokong dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan persahabatan membabitkan kelab yang bertanding di Piala Malaysia.

"MFL turut membuat keputusan untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium bagi perlawanan persahabatan kelab yang mahu membuat persiapan menjelang perlawanan minggu ketiga Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

"Bagaimanapun kelab berkenaan perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada MFL dan wajib mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN, KKM dan KBS bagi kemasukan penyokong ke stadium walaupun perlawanan itu hanya berstatus aksi persahabatan.

"Hal ini kerana, ia penting bagi memastikan kita bersama menjaga SOP bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku," katanya.

Sumber: Harian Metro
oleh Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Foto Asyraf Hamzah