WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

IMPAK RONALDO LUAR BIASA - DE GEA

Corak pemakanan Cristiano Ronaldo mula menjadi ikutan rakan sepasukan Manchester United


Back To Sports Updates

MANCHESTER: Cristiano Ronaldo baru sebulan kembali ke Manchester United tetapi David de Gea percaya bintang Portugal itu sudah memberikan impak di atas dan luar padang.

Impak diberikan pemain 36 tahun itu bukan saja dengan ketajaman di depan gawang - di mana dia sudah meledak empat gol dalam tiga penampilan - tetapi juga daripada segi gaya hidup di luar padang.

"Saya rasa impaknya begitu jelas. Cukup hebat untuk dia kembali ke sini. Dia adalah legenda kelab, jadi bagi pemain-pemain muda, mereka melihat cara dia bersenam dan menjaga fizikalnya," kata De Gea.

Ronaldo juga begitu menjaga pemakanannya, di mana dia makan enam kali sehari berselang tiga hingga empat jam dan mengutamakan sayur-sayuran, buah-buahan, serat serta protein.

Makanan sejuk beku dan daging merah tidak ada dalam menunya.

Corak pemakanan dan latihan kecergasan yang berdisiplin memastikan Ronaldo sentiasa berada pada tahap fizikal terbaik.

Seorang lagi penjaga gol United, Lee Grant awal bulan ini mendedahkan, dia dan rakan sepasukannya tidak makan makanan manis selepas melihat tabiat makan Ronaldo.

"Biasanya selepas makan malam pada hari Jumaat kami keluarkan makanan manis. Ada apple crumble, custard, brownie dan krim.

"Sekarang, tidak ada seorang pemain pun berani menyentuh apple crumble dan custard, apatah lagi brownie," kata Grant.

Di atas padang, ketibaan Ronaldo membantu United memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan baik. Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer sudah mengumpul 13 daripada 15 mata ditawarkan.

Ia adalah permulaan terbaik mereka sejak musim 2017, di mana mereka menang enam dan seri sekali dalam tujuh perlawanan di bawah kendalian Jose Mourinho.

Bagaimanapun juara 20 kali England itu masih mencari rentak di Liga Juara-Juara selepas tewas di tangan Young Boys pada aksi pembukaan minggu lalu dan disingkirkan oleh West Ham daripada Piala Liga pada Rabu.

Sumber: Berita Harian
Foto Agensi