WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

DISIPLIN KUNCI KEJAYAAN WATSON JADI 'RAJA PECUT'

Bukan sahaja dalam bidang sukan, disiplin menjadi kunci kejayaan seseorang individu dalam apa jua bidang yang diceburi


Back To Sports Updates

Kuching: Bukan sahaja dalam bidang sukan, disiplin menjadi kunci kejayaan seseorang individu dalam apa jua bidang yang diceburi.

Itulah yang menjadi pegangan anak kelahiran Sarawak, Watson Nyambek, 45, bekas 'Raja Pecut' negara atau lebih dikenali dengan jolokan 'The Flying Dayak' satu ketika dahulu.

Menurutnya, lahir dari belakang keluarga anak seorang anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) sememangnya dia diasuh dengan disiplin sejak kecil lagi.

"Saya mula berjinak dalam bidang larian sejak sekolah rendah lagi sebelum terbabit lebih serius ketika berada di sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Columbia, Miri, sekitar tahun 1993 dan 1994.

"Saya disiplinkan diri dengan bangun awal setiap hari seawal jam 4.30 pagi dengan berjoging di kawasan Tanjung Lobang hingga jam 5.30 pagi sebelum bersiap ke sekolah jam 6 pagi untuk meningkatkan stamina, sebelah petang rutin harian akan bermula jam 2 petang hingga enam petang," katanya.

Ayah kepada seorang anak itu berkata, untuk bergelar seorang pelari pecut yang baik tiga aspek perlu ditekankan iaitu kekuatan, tenaga dan kelajuan.

"Kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan sepanjang menyertai acara 100 meter dalam sukan olahraga negara ialah memecah rekod kebangsaan 10.49 saat (s) selama 29 tahun yang dipegang Tan Sri Dr. M Jegathesan di Terbuka Taiwan dengan catatan masa 10.46s.

"Satu lagi pencapaian yang membanggakan ialah mencatatkan masa terbaik 10.32s pada Sukan Asia di Bangkok, selain rekod kebangsaan dengan catatan masa 10.45s di Sarawak Open dan catatan masa 10.33s di Sukan Malaysia (Sukma) Pahang," jelasnya.

Bercerita lanjut, Watson berkata, saingan utamanya dalam acara pecut pada masa itu ialah seorang lagi raja pecut negara, Azmi Ibrahim.

"Berdasarkan rekod cemerlang yang diraih dalam acara pecut saya turut berpeluang beraksi di dua Sukan Olimpik iaitu di Atlanta pada 1996 dan Sydney pada tahun 2000.

"Bagaimanapun, saya gagal menyaingi kehebatan pelari pecut dunia masa itu seperti Carl Lewis dan Ben Johnson, namun tetap bangga dapat memperbaiki masa peribadi dalam acara 100 meter," katanya.

Ditanya perkembangan terkini, Watson memberitahu pada sekarang dia memberi fokus kepada kerjaya sebagai jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSN) sejak 2006.

"Pada masa ini sebanyak lapan atlet muda berusia 14 hingga 17 tahun dalam acara pecut 100 meter dan 200 meter diberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam acara pecutan yang dijalankan di Miri.

"Namun, pandemik Covid-19 pada masa ini menjejaskan latihan dan semua atlet hanya menjalani latihan di rumah masing-masing dengan dipantau menggunakan rakaman video," katanya.

Antara atlet muda Sarawak yang menyinar di bawah latihan yang dikendalikan Watson ialah Ambrose Gelom dan Johnathan Nyipa.

Sumber: Harian Metro
oleh Norsyazwani Nasri
am@hmetro.com.my
Foto File NSTP