WHAT'S NEXT

CATS UJUNG MINGGU

01.00pm - 04.00pm

PARALIMPIK: ZIYAD MOHON MAAF

Menerusi hantaran pada akaun Instagram miliknya, dia turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua yang memberi sokongan kepada dirinya


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli memohon maaf selepas kemenangannya dalam acara lontar peluru pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo dibatalkan, malam tadi.

Menerusi hantaran pada akaun Instagram miliknya, dia turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua yang memberi sokongan kepada dirinya sepanjang aksi di Tokyo.

"Saya minta maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan kepada saya," kata atlet berusia 31 tahun itu.

Kejayaan Ziyad meraih emas dan memecahkan rekod dunia, semalam 'dirompak' susulan protes yang dilakukan kem Ukraine.

Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Ketiga-tiga atlet terbabit mendapat status 'DNS (did not start - tidak menyertai permulaan)' sekali gus menyebabkan mereka dianggap gagal layak beraksi sekali pun Ziyad sebelum itu memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter.

Keputusan rasmi menyaksikan Ukraine yang melakukan protes berjaya meraih pingat emas dan perak bagi acara lontar peluru F20.

Emas menjadi milik Maksym Koval yang melakukan catatan 17.34 meter sekali gus menjadi rekod dunia sementara pingat perak dirangkul Oleksandr Yarovyi yang mencatat balingan 17.30.

Gangsa dimiliki atlet dari Greece, Efstratios Nikolaidis yang melakukan catatan 15.93m.

Terdahulu sebelum protes dilakukan, Ziyad menunaikan janjinya dengan bergaya apabila menghadiahkan pingat emas kedua buat negara pada Temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 31 tahun itu mengatasi rekod Koval (17.34m) yang sebelum itu memecahkan rekod Ziyad pada balingan pertama (17.31m) menerusi 17.94m pada lontaran ketiga.

Kejayaan itu membolehkan 'Super Ziyad' mencetus sensasi apabila berjaya mempertahankan emas selain menjadi pemilik rekod dunia F20 dan mengatasi catatan atlet normal, Adi Aliffudin Hussin yang memegang rekod kebangsaan dengan 17.54 meter serta rekod Sukan SEA (17.74m).

Sumber: Berita Harian
oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my
Foto BERNAMA