WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

BRENDA PECAH REKOD ASIA

Atlet para renang negara, Brenda Anellia Larry mencipta impak di Pusat Akuatik Tokyo apabila mencatatkan rekod baru Asia bagi acara 50 meter (m)


Back To Sports Updates

Kuala Lumpur: Atlet para renang negara, Brenda Anellia Larry mencipta impak di Pusat Akuatik Tokyo apabila mencatatkan rekod baru Asia bagi acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu.

Brenda, 16, beraksi dalam kategori S5 itu mencatatkan masa 1 minit 00.62 saat (s) memperbaiki catatan yang pernah dilakukan ketika menyertai Kejohanan Siri Dunia Renang Para di Singapura pada Mei lalu iaitu, 1:09.72s.

Bagaimanapun, catatan itu gagal untuk melayakkannya ke peringkat akhir selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-13 terbaik dan hanya lapan peserta dari 14 atlet akan mara ke final.

Namun bagi jurulatihnya, Eva Wong, ia satu pencapaian membanggakan terutama pada usia Brenda yang masih muda.

"Dia masih muda. Ketika beraksi tadi, dia berasa sedikit gementar, mungkin ini kali pertama dia beraksi di peringkat besar seperti ini. Aksinya juga tidak 100 peratus terbaik.

"Tapi bagus bila dia dapat cipta rekod Asia dan perbaiki catatan masa terbaiknya biarpun sebenarnya saya harap dia dapat lakukan bawah satu minit," katanya.

Brenda masih lagi mempunyai satu lagi acara iaitu 50m kuak lentang iaitu acara kegemarannya, acara yang melayakkan dirinya ke Tokyo.

Catatan terbaik Brenda dalam acara itu adalah 58.12s dilakukan di Kejohanan Para Dunia di London pada 2019.

Ditanya mengenai sasaran, Eva berharap Brenda dapat melayakkan diri ke peringkat akhir dan menikmati perlumbaan dan merasai makna pertandingan itu.

Sementara seorang lagi wakil negara, Jamery Siga yang beraksi dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki S5 turut gagal mara ke pentas akhir.

Jamery mencatat 40.32s dalam saingan yang dikuasai Weiyi Yuan dari China dengan catatan 32.30s. Catatan dilakukan Yuan itu juga memperbaiki rekod Sukan Paralimpik yang dilakukan atlet Brazil, Daniel de Faria Dias di London 2012.

Sumber: Harian Metro
Foto BERNAMA