WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

MESSI IKAT KONTRAK 2 TAHUN BERSAMA PSG

Bintang Argentina, Lionel Messi yang meninggalkan Barcelona minggu lalu selepas 21 tahun bersama


Back To Sports Updates

PARIS: Bintang Argentina, Lionel Messi yang meninggalkan Barcelona minggu lalu selepas 21 tahun bersama, menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Paris Saint-Germain (PSG) dengan pilihan tambahan setahun, umum kelab itu semalam.

Messi, 34, akan menggunakan nombor 30 pada jersinya seperti didedahkan PSG menerusi rakaman video - nombor sama yang digunakannya ketika memulakan karier profesional bersama Barcelona antara 2004 hingga 2006.

"Saya tidak sabar untuk memulakan babak baharu karier saya di Paris Saint-Germain," kata Messi dalam satu kenyataan menerusi laman sesawang kelab.

"Semua tentang kelab ini menepati cita-cita bola sepak saya," kata Messi yang diberi sambutan hangat oleh penyokong PSG sebaik tiba di ibu kota Perancis itu.

"Saya tahu betapa berbakat skuad ini dan kakitangan kejurulatihan mereka. Saya bertekad untuk membina sesuatu yang istimewa untuk kelab dan peminat, dan saya tidak sabar untuk turun ke padang di Parc des Princes."

Messi yang menjadi ejen bebas selepas meninggalkan Barcelona minggu lalu, mendarat di lapangan terbang Le Bourget semalam.

Ratusan peminat PSG menyambutnya dan ada juga yang menanti di Parc des Princes serta hotel yang dijangka menjadi kediaman Messi, isterinya Antonella dan tiga anak mereka.

Messi sempat melambai kepada peminat sambil memakai kemeja-T bertulis Paris sebelum dibawa untuk pemeriksaan kesihatan.

Perpindahan Messi ke PSG sudah dijangka sejak beberapa hari lalu. Pemenang enam kali Ballon d'Or itu akan menyertai Neymar dan Kylian Mbappe dalam jentera serangan PSG.

Sumber: Berita Harian

Foto AFP