WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

LIVERPOOL MELONJAK TANGGA KEENAM, KEMBALI HIDUPKAN PELUANG

Liverpool kembali menghidupkan peluang untuk merebut tempat dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL)


Back To Sports Updates

WOLVERHAMPTON, United Kingdom: Liverpool kembali menghidupkan peluang untuk merebut tempat dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Wolves 1-0 di Stadium Molineux, di sini, sebentar tadi.

Diogo Jota kembali menghantui Wolves dengan meledak gol tunggal permainan pada malam yang menyaksikan penjaga gol tuan rumah, Rui Patricio terpaksa menerima rawatan selepas kepalanya terhantuk dengan rakan sepasukan, Connor Coady.

Kecederaan di kepala bukan perkara asing buat Wolves musim ini. Sebelum ini penjaring terbanyaknya sepanjang dua musim lalu, Raul Jimenez, terpaksa direhatkan selepas tengkoraknya retak ketika menentang Arsenal pada November.

Ketiadaan Jimenez turut membuatkan anak buah Nuno Espirito Santo lebih terasa dengan kehilangan Jota sejak dia menyertai juara Inggeris itu pada harga 41 juta pound (RM234.33 juta) pada September.

Sepanjang tiga bulan lalu, Liverpool turut merindui sentuhan Jota yang cedera di bahagian lutut, sekali gus membantutkan permulaan cemerlangnya di Anfield.

Gol pertamanya sejak kembali beraksi itu membolehkan skuad kendalian Jurgen Klopp melonjak ke tangga keenam dan hanya lima mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.

"Yang penting ialah keputusan. Ia perlawanan yang sukar. Kami memperoleh tiga mata yang kotor, saya tidak kisah. Kami perlu kembali ke landasan yang betul," kata Klopp.

Sumber: Berita Harian
Foto EPA