WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

UNITED KECEWA, SPURS CERIA

Manchester United kecewa dengan kontroversi penalti VAR ketika seri 0-0 di Chelsea


Back To Sports Updates

London: Manchester United kecewa dengan kontroversi penalti VAR ketika seri 0-0 di Chelsea manakala Gareth Bale yang kembali menyerlah meledak dua gol bagi membantu Tottenham membelasah Burnley 4-0, awal pagi tadi.

Liverpool pula kini hanya dua mata di belakang kelompok empat teratas selepas mengakhiri empat kekalahan berturut-turut apabila menang 2-0 di Sheffield United.

Pasukan di tangga kedua, United berharap dapat mengurangkan jurang mata dengan pendahulu, Manchester City dengan kemenangan di Stamford Bridge tetapi sebaliknya mereka kini ketinggalan 12 mata dan harapan semakin tipis selepas hanya menang satu daripada empat aksi terakhir.

Bos Chelsea, Thomas Tuchel tidak tewas sembilan perlawanan dalam semua kejohanan sejak menggantikan Frank Lampard yang dipecat tetapi keputusan seri itu gagal membantu The Blues mencabar kedudukan empat teratas.

Chelsea bernasib baik pada babak pertama apabila rayuan United untuk mendapatkan penalti ditolak pengadil, Stuart Attwell yang merujuk monitor tepi padang selepas Callum Hudson-Odoi tampak terkena bola di tangan ketika berebut dengan Mason Greenwood.

"Ia penalti, 100 peratus. Jika dalam posisi biasa, bola terkena tangan atau mungkin saya buta,'' kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.

Tuchel pula tidak bersetuju: "Apa perlunya campur tangan VAR? Saya tak faham mengapa pengadil perlu memeriksanya tetapi saya gembira ia bukan penalti.''

Sementara itu, selepas lima kekalahan dalam enam aksi terakhir, Tottenham melegakan tekanan ke atas Jose Mourinho dengan sumbangan besar Bale yang hanya tampil kali ketiga dalam kesebelasan utama musim ini.

Penyerang Wales itu mempamerkan prestasi terbaiknya sejak dipinjamkan dari Real Madrid dengan meledak empat gol daripada empat penampilan terakhir.

Bale hanya perlukan 68 saat meletakkan Spurs di depan hasil jaringan jarak dekat selepas mendapat hantaran Son Heung-min.

Pemenang empat kali Liga Juara-Juara itu kemudiannya menghantar bola kepada Harry Kane yang merembat gol kedua untuk jaringan ke-22nya musim ini.

Lucas Moura menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat dan Bale yang hanya menjaringkan satu gol dalam liga sebelum ini tenang meledak gol keduanya pada minit ke-55 selepas mendapat hantaran Heung-min.

Tottenham kini melonjak ke tangga kelapan, enam mata di belakang kelompok empat teratas dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

"Tidak ada satu pun pengurus di dunia yang tidak akan menurunkan Bale jika dia dalam keadaan terbaik. Dia bertambah baik daripada sebelum ini,'' kata Mourinho.

Arsenal pula menjejaskan impian Leicester untuk meraih gelaran liga selepas menang 3-1 semalam. Ia kemenangan kedua Gunners dalam enam aksi terakhir liga dan kemenangan pertama mereka ke atas pasukan tiga teratas sejak 2015.

Leicester kekal di tangga ketiga dan ketinggalan 13 mata di belakang City dengan baki 12 perlawanan lagi.

Liverpool mengurangkan jurang dengan Leicester kepada enam mata hasil kemenangan ke atas pasukan corot.

Pelawat terpaksa menunggu sehingga ke babak kedua untuk memecah kebuntuan menerusi jaringan Curtis Jones dan rembatan Roberto Fimino terkena Kean Bryan untuk gol kedua Liverpool sekaligus melegakan pengendali, Jurgen Klopp.

Sumber: Harian Metro
Foto AFP