WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

LIVERPOOL BANGKIT DI PENTAS EROPAH

Sadio Mane meledak gol kedua Liverpool dalam kemenangan 2-0 ke atas RB Leipzig ketika aksi Liga Juara-Juara Eropah di Budapest


Back To Sports Updates

BUDAPEST: Liverpool kembali menemui sentuhan kemenangan apabila menewaskan RB Leipzig 2-0 pada aksi pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di Budapest, Hungary.

Jaringan babak pertama Mohamed Salah dan Sadio Mane, kedua-duanya hasil kesilapan pertahanan Leipzig, sudah cukup untuk memberi kelebihan buat juara Liga Perdana Inggeris itu menjelang aksi timbal balik di Anfield pada 10 Mac.

Skuad kendalian Jurgen Klopp berpeluang cerah untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dan turut menamatkan deretan tiga kekalahan liga yang menyebabkan mereka ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu Manchester City.

"Ia adalah perlawanan yang kami mahu dan perlukan malam ini. Leipzig mampu menjadi lawan yang sukar.

"Cara mereka bermain di Bundesliga amat fizikal dan mampu menundukkan lawan, tetapi kami berjaya mengawal mereka malam ini.

"Mereka mempunyai peluang berdasarkan kualiti mereka tetapi kami memastikan kemenangan milik kami," kata Klopp.

Perlawanan pertama itu dipindahkan dari Leipzig ke Budapest akibat larangan perjalanan COVID-19 oleh kerajaan Jerman.

Berbeza dengan nasib Liverpool di Liga Perdana, Leipzig kendalian Julian Nagelsmann merakam empat kemenangan berturut-turut di laman sendiri dan berada di tangga kedua Bundesliga di belakang Bayern Munich sebelum aksi di Budapest.

"Kami melakukan dua kesilapan besar yang pasti akan dihukum di mana-mana peringkat.

"Kesilapan boleh berlaku, permainan kami tidak seteruk mana dan kami terpaksa menerima keputusan ini," kata Nagelsmann.

Sumber: Berita Harian