WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

ZIDANE TIDAK AKAN LETAK JAWATAN

Zinedine Zidane menolak dakwaan yang dia akan meninggalkan Real Madrid


Back To Sports Updates

KIEV: Zinedine Zidane menolak dakwaan yang dia akan meninggalkan Real Madrid dan berkata gergasi Sepanyol itu tidak berhak tewas 2-0 di tangan Shakhtar Donetsk.

Ia adalah kekalahan Liga Juara-Juara kedua berturut-turut Real di tangan kelab Ukraine itu musim ini, sekali gus menjadikan harapan mereka mara ke pusingan 16 dalam keadaan seimbang.

Pemain gantian Dentinho dan Manor Solomon menjaringkan gol di babak kedua untuk mengejutkan juara 13 kali Eropah itu di Kiev, selepas menewaskan mereka 3-2 di Madrid pada Oktober.

Shakhtar tewas dua perlawanan Kumpulan B sebelum ini menentang Borussia Moenchengladbach dengan agregat 10-0, tetapi kemenangan ke atas Real melonjak mereka ke tangga kedua dengan satu perlawanan berbaki.

Gladbach mendahului kumpulan dengan kelebihan satu mata, manakala Shakhtar kini mempunyai kedudukan lebih baik berbanding Real berdasarkan rekod pertemuan antara mereka.

"Saya tidak akan meletak jawatan, tidak sesekali. Kami akan sentiasa berdepan saat sukar, dan dalam keadaan yang tidak bagus, tetapi kami akan terus berusaha.

"Saya mempunyai kekuatan yang diperlukan untuk mengubah keadaan dan saya akan melakukannya dengan sebaik mungkin, begitu juga pemain-pemain," kata Zidane.

Sumber: Berita Harian
Foto AFP