WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

REKOD SOLSKJAER LEBIH BAIK DARIPADA KLOPP

Solksjaer memenangi lebih banyak perlawanan, meledak lebih banyak gol dan dibolosi kurang gol berbanding Jurgen Klopp


Back To Sports Updates

MANCHESTER: Selepas mengharungi 100 perlawanan sebagai pengurus Manchester United, masa depan Ole Gunnar Solskjaer bersama pasukan itu tampak menghampiri penghujung dengan kitaran sama berulang apabila pengurus menunjukkan kemajuan namun tidak mendapat pemain yang disasarkan seterusnya gagal menyerlah di atas padang.

Solksjaer memenangi lebih banyak perlawanan, meledak lebih banyak gol dan dibolosi kurang gol berbanding Jurgen Klopp di Liverpool berdasarkan rekod 100 perlawanan, namun pencapaian itu dilihat tidak mampu menyelamatkannya.

Selepas menyaksikan peningkatan United daripada tempat keenam kepada tempat ketiga musim lalu, Solskjaer memiliki sasaran yang jelas dengan Jadon Sancho berada pada senarai yang teratas namun pendekatan amatur United menyaksikan rundingan itu tidak dapat dilaksanakan.

Dengan hanya penambahbaikan minit akhir menerusi kemasukan Edinson Cavani dan Alex Telles, situasi itu jelas jauh berbeza berbanding proses yang dijalankan dengan jayanya seperti yang dilakukan Liverpool dan Chelsea.

Namun, ini tidak mengejutkan kerana penyokong United sudah terbiasa dengan pendekatan 'caca-marba' pengurusan di mana pelantikan Solskjaer secara tetap menjadi contoh keputusan yang tidak akan diambil oleh mana-mana pasukan besar di Eropah.

Solksjaer mencipta 'magis' pada beberapa bulan pertamanya selepas mengambil alih kendalian daripada Jose Mourinho di pertengahan musim 2018-19 dan walaupun dilabel sebagai 'guru pendidikan jasmani' namun dia turut melakar beberapa kemenangan menakjubkan.

Dia menewaskan Pep Guardiola dan Frank Lampard sebanyak tiga kali musim lalu namun skuad kecil menyaksikan mereka tersingkir daripada tiga perlawanan separuh akhir tetapi situasi itu menunjukkan pasukan itu menunjukkan perkembangan positif untuk jangka masa panjang.

Namun musim ini tampak berbeza buat Solksjaer apabila beraksi cemerlang di Liga Juara-Juara namun tewas tiga daripada enam perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain juga dikatakan gagal beraksi seperti yang diharapkan contohnya persembahan Harry Maguire dalam tiga perlawanan awal adalah prestasi terburuknya dalam jersi United dan Paul Pogba menghadiahkan dua penalti dalam tiga aksi di Old Trafford selain Anthony Martial dilayangkan kad merah ketika bertemu Spurs.

Selepas tewas di tangan Spurs, Solskjaer dianggap bertuah apabila bertahan sehingga hujung Oktober apabila bertemu aksi sukar menentang PSG, Chelsea dan Leipzig namun apa yang dibimbangkan berlaku apabila United tewas di tangan Arsenal.

Tugas selaku pengurus United lebih besar berbanding Solskjaer dan jika dia gagal mengutip kemenangan selepas ini, dia bakal disingkirkan namun itu bukanlah jalan penyelesaian terhadap 'masalah besar' yang sedang berlaku di United ketika ini.

Perbandingan Solskjaer dan Klopp selepas 100 perlawanan

Solskjaer di United

Menang - 55 perlawanan

Seri - 21 perlawanan

Kalah - 24 perlawanan

Jaringan -181 gol

Bolos - 100 gol

Klopp di Liverpool

Menang - 50 perlawanan

Seri - 29 perlawanan

Kalah - 21 perlawanan

Jaringan - 182 gol

Bolos - 108 gol

Sumber: Berita Harian