WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

KIM SWEE CALON TERBAIK GANTI PETER DE ROO

Kim Swee dilihat sebagai calon terbaik mengisi jawatan pengarah teknikal FAM


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Ketua Unit Pembangunan Belia Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee dilihat sebagai calon terbaik mengisi jawatan pengarah teknikal badan induk itu selepas kontrak penyandangnya, Peter de Roo berakhir hujung tahun ini.

Justeru, pemerhati bola sepak, Dr Zulakbal Abd Karim menggesa badan induk itu dapat mempertimbangkan supaya melantik bekas jurulatih skuad kebangsaan dan pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara sekali gus membolehkan projek F:30 'berjalan terus' dengan lancar.

Jelasnya, kedudukan Kim Swee sebagai individu yang sudah berada dalam sistem pasti memudahkan perancangan selepas ini apatah lagi dia sudah 'masak' dengan budaya kerja dan iklim bola sepak di negara ini.

"Kim Swee memang individu paling tepat kerana dia ketika ini pun memang sudah menjadi penolong pengarah teknikal FAM. Jadi dia boleh meneruskan apa yang sudah sedia ada bagi memastikan kesinambungan projek F:30 dan program bola sepak lain.

"Bukan tidak boleh ambil kepakaran luar tetapi untuk pembangunan dalam F:30, kita baru sahaja bermula dengan silibus baharu dan saya khuatir bila orang luar masuk, dia mungkin akan merombak sistem yang ada dan mengganggu perancangan yang sudah disusun.

"Memang bagus kalau FAM memberi kepercayaan kepada anak tempatan dan sudah tiba masanya kita beri peluang kepada anak tempatan menunjukkan kebolehan," katanya.

Terdahulu, kontrak de Roo sebagai pengarah teknikal berakhir hujung tahun ini selepas pengendali dari Belanda itu membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya selepas mula dilantik pada 2017.

Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut mengakui satu kerugian sekiranya FAM tidak menggunakan khidmat Kim Swee selepas badan induk itu sendiri yang 'menariknya' untuk terbabit dalam bola sepak.

"FAM yang membentuk Kim Swee dengan memberikannya peluang bersama skuad kebangsaan dan skuad B-23. Jadi inilah masanya mereka memanfaatkan pengetahuan yang sudah diberikan kepada Kim Swee.

"Kalau FAM lantik orang luar, ini bermakna mereka sendiri tidak percaya pada bakat anak tempatan yang mereka besarkan," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my