WHAT'S NEXT

LAGU TEBILANG CATS

02.00pm - 04.00pm

MAMPUKAH LIVERPOOL PERTAHAN DOMINASI?

Liga Perdana Inggeris (EPL) akan kembali, Ahad ini selepas mengharungi rehat paling singkat dengan persaingan sengit dijangka berterusan


Back To Sports Updates

LONDON: Liga Perdana Inggeris (EPL) akan kembali, Ahad ini selepas mengharungi rehat paling singkat dengan persaingan sengit dijangka berterusan.

Adakah juara Liverpool akan bergelut untuk mempertahankan mahkota kejuaraan mereka tanpa perubahan besar dalam pasukan?

Adakah Manchester City mempunyai kemampuan terbaik untuk menjatuhkan mereka atau Chelsea yang berbelanja lebih besar?

LIVERPOOL

Juara bertahan, skuad Jurgen Klopp menjalani musim panas yang tenang dengan hanya satu penambahan pada skuad utama iaitu Kostas Tsimikas dari Olympiacos untuk memberikan sokongan tambahan kepada Andy Robertson di bek kiri.

Perpindahan mungkin berlaku berdasarkan minat Liverpool terhadap pemain tengah Bayern Munich, Thiago Alcantara. Namun, perpindahan dijangka hanya akan terjadi jika Georginio Wijnaldum berpindah ke Barcelona.

Oleh itu, untuk semangat baru dalam pasukan Klopp, pemain seperti Takumi Minamino dan Naby Keita menjadi antara yang harus diberi perhatian.

Minamino sudah menghabiskan masanya untuk menyesuaikan diri sejak perpindahan pada Januari lalu dari Red Bull Salzburg. Namun dia seakan sudah memberi impak pada aksi pra musim dan menjaringkan gol ketika tewas kepada Arsenal dalam aksi Perisai Komuniti.

Sementara Keita menunjukkan prestasi baik dalam tempoh dua tahun sejak perpindahannya dari RB Leizpig. Sekiranya mampu kekal cergas untuk jangka waktu yang lama, dia pasti akan menambah dimensi tambahan di bahagian tengah Liverpool.

Ramai pemain muda yang akan terus meningkat - Trent Alexander-Arnold dan Joe Gomez hanya berusia 21 dan 23 tahun - sementara selebihnya turut menunjukkan bahawa mereka berada pada tahap yang berbeza.

Robertson dan Fabinho berusia 26 tahun, Sadio Mane dan Mohamed Salah berusia 28 tahun sementara Roberto Firmino dan Virgil van Dijk yang berusia 29 tahun menjangkakan 2020-21 adalah satu lagi kempen dalam kemuncak prestasi mereka.

MANCHESTER CITY

Wajah baharu diperlukan di Manchester City, dan ia adalah apa yang mungkin dimiliki atau tidak dengan musim panas mereka akan ditentukan oleh pemain yang 'melarikan diri'.

Pasukan Pep Guardiola adalah 'peminat' utama untuk mendapatkan Lionel Messi sebelum pemain Barcelona itu harus menerima bahawa dia tidak akan berjaya keluar dari Nou Camp.

Perpindahan jenis itu mungkin akan menjadi 'nuklear' buat City, tetapi Guardiola masih membuat beberapa penambahan penting untuk pasukannya.

Persembahan pertahanan yang menyedihkan musim lalu bagi kelab yang mahu mempertahankan gelaran EPL hingga kedatangan Nathan Ake bernilai 40 juta pound (RM216 juta) dari Bournemouth menjadi kunci penyelamat.

MANCHESTER UNITED

Ini belum lagi perpindahan musim panas yang diharapkan Ole Gunnar Solskjaer selepas United tersingkir dari Liga Europa di peringkat separuh akhir, namun itu bukan bencana.

Solskjaer sudah menguatkan bahagian tengah dengan Donny van de Beek dari Ajax dan prospek gandingan bersama Paul Pogba dan Bruno Fernandes yang sangat menarik, selain ditambah trio serangan Mason Greenwood, Marcus Rashford dan Anthony Martial.

United sudah bertambah baik di bawah bimbingan Solskjaer, sasaran mengenai cabaran merangkul gelaran mungkin masih terlalu awal musim ini. Solskjaer pasti mengetahui barisan 11 terbaiknya, namun tampak tidak terlalu percaya kepada pemain di luar kesebelasan utama.

Mendapatkan taktik untuk mengatasi Klopp dan Guardiola bukanlah satu tugas mudah, namun Solskjaer menyatukan United pada satu aras yang menggembirakan dan memastikan mereka tetap berada dalam barisan pencabar.

CHELSEA

Apa sahaja yang berlaku di Chelsea musim ini, ia menjadi sesuatu yang seronok untuk disaksikan.

Frank Lampard mengawasi jendela perpindahan paling dramatik dari semua pasukan enam teratas dengan Roman Abramovich membelanjakan wangnya selepas kempen yang menggalakkan di Stamford Bridge.

Kai Havertz, Timo Werner, Hakim Ziyech, Ben Chilwell dan Thiago Silva semuanya sudah tiba di Stamford Bridge dan penjaga gol Edouard Mendy dijangka menyusul.

Namun, selepas susun atur yang luar biasa, Lampard akan memikul harapan yang jauh lebih tinggi, sama ada di dalam atau pun di luar kelab.

Ketibaan Silva dengan perpindahan percuma selepas meninggalkan PSG sangat menarik. Dia mempunyai latar belakang yang baik, tetapi bakal mencecah usia 36 tahun pada 22 September ini.

TOTTENHAM HOTSPUR

Musim penuh pertama Jose Mourinho di White Hart Lane bermula dengan pertembungan menarik dengan pengendali Everton, Carlo Ancelotti.

Dia sudah membuat beberapa penambahan yang menarik di Spurs - Matt Doherty dari Wolves adalah pemain yang bagus, sementara Pierre-Emile Hojbjerg menambahkan kekuatan di bahagian tengah.

Anak buah Mourinho kembali ke Eropah selepas berada di kedudukan keenam musim lalu tetapi akan menghadapi senarai perlawanan yang sangat padat pada awal musim.

Mereka perlu melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Europa dan mesti melepasi dua pusingan kelayakan pada September.

ARSENAL

Sama seperti pencabar mereka di Utara London, Arsenal masih baru bersama Mikel Arteta dan optimis akan berlaku peningkatan di sekitar kelab.

Arteta mengetuai Arsenal meraih kejayaan di Piala FA selepas menyertai kelab pada Disember lalu. Namun, tanda tanya mengenai masa depan Pierre-Emerick Aubameyang untuk terus kekal dalam tempoh jangka panjang masih menjadi persoalan.

Arteta dilihat melakukan perpindahan pemain yang bijak - Willian adalah pemain EPL yang terbukti bagus walaupun pada usia 32 tahun.

Gabriel Magalhaes, pemain bernilai 27 juta pound (RM146 juta) dari Lille, akan membantu meningkatkan bahagian pertahanan dan Dani Ceballos kembali menyertai kelab itu semula secara pinjaman dari Real Madrid adalah berita baik untuk Arteta.

Sumber: Berita Harian
Foto AFP